Latest Post! Check it out!

DTM 13

Plastik sampah besar itu diletakkan di tempat duduk belakang. Tali pinggang keledar ditarik. Alan turut sama menarik tali pinggang kele...

Monday, March 18, 2013

PRMH 1



Cinta itu tak semestinya memiliki. Dengan melihat dia bahagia.. kita turut bahagia. Tapi sejauh mana kebenaran kenyataan itu? Benarkah bahagia? Atau.. hati sedang sengsara? Relakah hati tu? Sampai nak meniti hari esoknya pun, kaki sudah lemah? Hinggakan tidur pun masih ditemani dengan titisan air mata? Hati pula terasa seperti dirobek dan dikunyah rakus binatang buas? Setenang mana hati tu? Setenang air di lautan? Hm? Sedangkan air laut juga ada pasang surutnya. Sedangkan di laut juga air bergelora... inikan pula hati manusia yang tidak pernah lari daripada mempunyai prasangka buruk lebih dari baiknya.

            “Sampai bila kau nak macam ni?” belakang tubuh Q ditepuk dan digosok perlahan oleh teman baiknya, Akira.

            “Aku okay..” tersekat-sekat Q atau nama penuhnya Qurratu’ain berkata. Hidung merah yang sudah dipenuhi dengan air hidung ditenyeh dengan lengan baju. Aku okay.. bisik hatinya.

            “Kalau okay, takdenya kau nak menangis macam ni. Malam-malam pula tu. Nasib baik kau tu housemate aku. Cuba kalau aku duduk jauh? Macam mana?” bebel Akira. Risau sungguh hatinya.

            “Kalau kau tak merelakan semua ni, kau tak sepatutnya kata macam tu kat Harith.” Keyla yang duduk di sisi kanan Q memeluk lengan sahabatnya itu.

            Menangis kat tangga.. kiri kanan dikepit dua orang kawan baik.. tapi hati masih belum terubat.. tak sepatutnya sebegini. Sepatutnya sekarang ni, aku tengah bahagia tengok dia bahagia. Sepatutnya sekarang ni aku sedang bergelak ketawa dengan kawan-kawan aku. Sebab semua ni berpunca daripada aku sendiri. Aku yang melepaskan dia! Silap aku!!

            “Q, dia dah selamat berkahwin pun Q.. dah seminggu kot kau macam ni. Mula dari hari pernikahan dia lagi. Kau juga yang minta dia lepaskan kau hari tu.” Ujar Keyla.

            “Sebab waktu tu aku ingat aku kuat Kay. Aku ingat aku boleh lepaskan dia. Pada aku, jodoh yang ayah dia tentukan lebih baik dari aku! Sebab tu ayah dia carikan dia calon isteri yang lain.” Q terus menerus menitiskan air matanya. Sampai bila air mata ni nak kering, Q? Sampai bila? Sampai mata kau tertutup? Sampai badan kau dah membiru kaku? Begitu?

            “Ayah dia carikan calon isteri, sebab dia sendiri tak pernah nak kenalkan kau pada orang tua dia. Aku rasa kalau ayah dia tahu yang dia dah ada calon, tak mungkin ayah dia nak kenenkan dia dengan anak orang lain. Harith sendiri tak membangkang permintaan orang tua dia. Angguk aje semuanya. Tak pernah nak fikir perasaan kau. Macam tu ke sayang?” Akira bersuara. Terus pandangan Q tepat merenung Akira.

            “Maksud kau, Harith yang sengaja sembunyikan hubungan kami? Hm? Dan dia pun memang suka dengan calon yang ayah dia bagi tu? Pada kau, dia macam tu?” Q sedikit berang. Selagi dia hidup, tiada siapa boleh menilai Harith. Sebab mereka langsung tak tahu siapa Harith! Mereka tak tahu!!

            “Dah la. Kita lupakan semua ni. Tak elok lah kau menangis macam ni, Q. Kalau kau tidur sekarang, memang tak boleh buka mata kau tu nanti. Sembab sangat. Jadi makcik Korea pula kau nanti. Oleh ituuuu...” Keyla bangun dan menarik lengan Q untuk turut sama bangun.

            “Jom kita bubuh timun kat mata? Bagi segar sikit.” Cadang Keyla. Akira turut bangun dan mengangguk. Suasana yang hampir tegang tadi, sepatutnya dielakkan. Nanti ada pula yang bermasam muka dalam rumah. Tak seronok!

            “Aku tengah sedih, boleh pula kau orang ajak aku buat facial.” Q mengesat air matanya yang masib bersisa di pipi.

            Sengihan Keyla dan Akira membuatkan dirinya sedikit gembira. Kelakar bila mereka buat muka macam tu.

            “Sekarang pukul berapa eak?” tanya Akira. Matanya melilau mencari jam dinding.

            “Lain kali pakai cermin mata ya makcik nerd. Tu, pukul sepuluh.” Q menunding jari ke arah jarum jam yang menunjukkan hampir sepuluh malam.

            “Tengok tu, sedih-sedih pun boleh usik aku lagi. Tahu lah mata aku tak macam kau orang. Ini sebab belajar terlalu banyak tau!” Akira mencebik. Keyla ketawa.

            “Eh.. jom midnight movie?” cadang Akira. Keyla memandang Q.

            “Kau tengok makcik ni dengan mata sepet cina ni nak ke keluar tengah malam tengok wayang?” Keyla ketawa sendiri. Memang jarang sekali.. eh tak.. tak pernah sekali pun kalau dalam keadaan serabut macam ni, Q akan ikut. Memang tak mungkin! Dalam keadaan apa sekalipun!

            “Why not?” Q akhirnya tersenyum. Keyla ternganga.

            “Kau demam ke Q? Or sebab kau menangis banyak sangat, kepala otak kau jadi ting-tong?” Keyla mengusik. Akira memukul kuat belakang tubuh Keyla.

            “Ada pula cakap macam tu. Biarlah Q. Jomlah tengok wayang. Aku tahu satu cerita best! Confirm tak menyesal.” Akira menarik lengan Q untuk naik ke bilik.

            “Weh! Timun aku macam mana?” jerit Keyla apabila Akira dan Q sudah hilang masuk ke bilik untuk menukar baju.

            “Kau bawa aje la masuk panggung nanti! Kita buat facial dalam panggung eh!” Akira menjerit juga. Sengaja mengusik. Keyla memuncung. Aku yang cadangkan dulu buat facial ni, alih-alih plan Kira juga yang jadi. Keyla menghentak kaki mendaki anak tangga tanda protes.

            “Kau ni big foot ke macam mana, Kay? Bergegar rumah ni dengan kau hentak kaki macam tu.” Q yang berada di atas pun boleh dengar derapan kaki Keyla.

            “Hah! Hentaklah kaki tu sampai berlubang tangga tu. Biar nanti tuan rumah buat lif pula dalam rumah ni. Bagus sangat action kau tu, Kay.” Sindir Akira pula. Mereka berdua yang berada di bilik ketawa terkekek-kekek. Ahh.. hilang sedikit rasa sedih.

            “Kau orang ni kan. Menyampah aku. Benci kau!” Keyla bermasam muka bila tiba di hadapan muka pintu. Langsir berjurai yang ada di pintu masuk ditolak kasar. Kakinya menapak masuk ke dalam bilik.

            “Eleh. Ucaplah seribu kali benci pun kat kita orang.. kita orang tak kisah. Sebab.. kita orang tahu, dalam hati kau tu..” Akira merapati Keyla yang hanya menjeling dengan kehadiran Akira di sisinya. “Hanya ada aku dengan Q. Betul tak Q?”

            Q ketawa seraya mengangguk. Entah baju apa yang nak dipakai. Dia membelek baju-baju yang ada di dalam almari.

            “Sudahlah kau. Pergi main jauh-jauh. Benci aku tengok muka kau.” Keyla menolak tubuh Akira lembut. Tetap juga Akira datang balik dan mendekati.

            “Tepilahhhh..!!” sekali lagi Keyla menolak. Akira tetap datang.

            “Tepi!!!!!!!!!!!!!! Annoying tau!” jerit Keyla. Geram betul. Suara nyaring Akira ketawa bergema di dalam bilik.

            “Kau ingat tau.. bila kau orang ada masalah, macam ni lah aku akan datang kat kau orang. Kau orang tepis aku macam mana pun, aku akan tetap dekat dengan kau orang. Annoying tahap dewa macam mana pun, aku tetap akan tolong kau orang selesaikan masalah.” Akira menghadiahkan barisan giginya. Keyla merenung Akira.

            “Kau sengaja kan? Suka buat aku rasa macam lesbian dengan kau! Ish!” terus Keyla memeluk tubuh Akira. Akira hanya ketawa. Q hanya tersenyum. Adalah lebih baik nilainya seorang sahabat dibandingkan dengan kekasih. Sahabat, boleh dikatakan tahu segalanya tentang kita. Tapi bukan kekasih. Dia langsung tak faham, tak kenal hati ni macam mana.

            Ahhh.. Q, kenapa kau nak salahkan Harith pula sedangkan memang kau yang minta dia pergi? Kenapa mesti salahkan dia? Dia tak bersalah.. bisik hati kecil Q. Lantas dia menggeleng kecil menghilangkan bayangan Harith. Suami orang, jangan dikenang!

            “Yang kau ni Q, kenapa pula? Menggeleng seorang-seorang?” Keyla yang sedar Q sedang bereaksi begitu berasa pelik. Main angguk-angguk geleng-geleng pula.

            “Takde apa lah. Kau orang berdua tu jangan nak bergurau banyak sangatlah. Cepatlah sikit siapnya.” Bebel Q. Jangan difikirkan lagi Q. Biar malam ni, malam kau dengan kawan-kawan kau.

            “Kau tu yang nak kena siap cepat sikit, Q. Mata tu nak touch-up macam mana? Bagi besar sikit mata kau tu. Dah macam orang Korea aku tengok kau. Kau nak pakai lense tak? Aku ada lebih yang hitam tu.” Akira menawarkan contact lensenya.

            “Hm? Nak titik eye more pun aku takut, inikan pula pakai lense? Lagipun Kir, tak elok la pakai lense macam tu. Bukan ada purpose apa pun kan? Untuk cantik aje, kan? Bahayalah. Kau main beli aje kat downtown benda macam tu. Lagi satu, Allah dah bagi mata macam ni, dah cukup cantik dah. Jangan nak mengubah ciptaan Dia. Dosa tau. Lainlah kalau kau pakai lense tu sebab kerabunan kau. Tapi, itu pun ikut warna mata kau. Bukan dengan warna biru, hijau, merah, ungu bagai. Macam hantu aje aku tengok.” Selamba Q berkata. Keyla sudah menunjukkan isyarat ‘good’ pada Akira. Akira menjeling Keyla.

            Akira terus merapati almari pakaiannya. Mencari-cari baju apa yang ingin dipakainya. Apa yang dikatakan Q, langsung tidak ditelannya. Keyla memandang Q.

            ‘Degil.’ Isyarat mulut Keyla difahami Q. Q hanya menjungkit bahu. Sudah dikhabarkan di berita-berita tentang bahaya memakai contact lense yang dijual murah di pasar-pasar. Boleh menyebabkan buta!

            Biarlah. Sudah dinasihati.

KELAPANGAN kerja memaksa Fahmi untuk pulang awal malam ini. Kebiasaannya dia akan pulang lewat. Tapi disebabkan satu projek sudah berjaya hari ini, semua pekerja dibenarkan balik awal dari kebiasaan.

            Kalau dah namanya ‘biasa’ balik lewat.. balik pula letih tak ingat dunia.. tahu asyik nak katil aje sampai esok pagi, lain pula jadinya bila balik awal. Mati kutu dibuatnya! Entah apa yang dia nak buat. Tak biasa pula nak tidur lewat. Puas dia melilau satu bandar seorang diri menghilangkan rasa bosan.

            Kereta baru sahaja masuk ke dalam garaj. Fahmi menggigit bibir. Jarum jam di tangan baru menunjukkan pukul sepuluh suku. Selalunya pukul satu dua pagi baru nak tengok rumahku syurgaku. Takkan nak terus tidur?

            Fahmi keluar kereta sambil membawa keluar kertas projeknya yang elok bergulung kemas. Dengan pantas dia naik ke bilik untuk mandi dan solat. Usai solat, dia duduk di birai katil yang berhadapan dengan cermin panjang macam tunggul.

            ‘Apa teruk sangat aku tengok diri kau ni Mi? Macam orang bodoh aje duduk cenggitu. Tak boleh jadi ni. Ni bukan macam mana kau sebelum ni.’ Fahmi bermonolog sendiri.

            Terus dia bangun dan melipat sejadah yang dibiarkan terlentang sebegitu di atas lantai dari tadi. Baju ditukar. Kalau nak ajak member keluar tengok wayang malam-malam macam ni, memang tak lah kan cerita dia. Selalunya kalau ada couple atau perempuan aje yang suka sangat midnight movie ni.

            Seorang diri layan movie pun boleh, kan? Fahmi tersengih sendiri melihat penampilan diri di hadapan cermin. Cukup kot nak mencairkan hati wanita-wanita di luar sana. Diulang ya, WANITA, bukan gadis. Nampak tak betapa sucinya diri ini? Hanya mak-mak yang dibenarkan jatuh cinta dengan aku. Kot mak mertua berkenan, terus link dengan anaknya.. tak payah la pening kepala, serabut fikir pasal cinta bagai. Ada apa dengan cinta? Buatkan seseorang tu jatuh tersungkur lagi adalah.

            Kunci kereta dicapai, kaki melompat naik ke palang tangga dan luncuran Fahmi hingga ke bawah. Kalau jatuh bergolek, memang tak selamat nyawa tu.

“CERITA apa nak tengok ni?” Keyla memeluk lengan Akira dan Q. Mata Q sempat memandang seorang lelaki yang berada di belakangnya. Sedar akan dirinya diperhatikan, Fahmi tersengih memandang Q. Q jadi malu sendiri lantas buat-buat pandang ke tempat lain. Namun sayang, cermin mata hitam yang dipakainya menyembunyikan bebola matanya.

            “Awak pandang saya, kan?” Fahmi menegur Q. Malu juga kalau gadis itu tak memandangnya, tapi dia yang perasan.

            “Mana ada. Saya pandang McD belakang awak tu lah.” Jawab Q. Ahh. Malunya! Fahmi memandang ke belakang seperti yang diceritakan Q. Tangannya kedua-dua menyeluk poket seluar jeans.

            “Oh. Saya ingat awak pandang saya. Dalam shopping complex takde cahaya matahari, wak. Lagipun ni malam. Kenapa nak kena pakai cermin mata gerhana ni?” pelik pula Fahmi dengan gadis di hadapannya ini. Malam-malam pun nak kena pakai cermin mata hitam?

            “Diamlah.” Q berpusing kembali ke depan. Buat malu aje, Q! Maluuu! Yang kau pergi pandang dia kenapa? Tapi.. dia nampak macam budak sekolah aje. Tengah-tengah malam macam ni, mak dia bagi dia keluar pula? Ni mesti kes lari dari rumah ni. Q membuat andaian sendiri.

            “Esok cuti kan? So, malam ni kita enjoy betul-betul. Lepas ni kita pergi Putrajaya nak? Kalau malam, pemandangan dekat jambatan tu cantik tau.” Ajak Akira.

            “Boleh juga.” Balas Q. Dan entah apa lagi yang mereka perkatakan hingga tiba giliran mereka, mereka masih leka dan rancak bersembang. Fahmi yang sebelum ini menanti dengan penuh kesabaran, terus memotong barisan dan mendekati kaunter. Manakan tidak? Entah dah berapa kali penjaga kaunter itu memanggil. Kasihan juga kalau dibiarkan terus-terusan memanggil, tapi orang yang dipanggil sememangnya pekak.

            “Satu tiket untuk cerita ni.” Fahmi menunjukkan tajuk cerita yang dia inginkan. Q yang baru sedar lelaki di belakangnya tadi kini berada di hadapan kaunter, terus menarik tangan Keyla dan Akira merapati.

            “Eh, bukan kita orang datang dulu ke? Sepatutnya kita orang yang beli dulu.” Marah Q.

            Fahmi menoleh dan tersengih. “Makcik gerhana, kalau nak bersembang balik rumah ya. Tu, barisan tu panjang lagi tau. Orang lain pun nak beli tiket. Kalau awak dok block jalan, bersembang tak ingat dunia, baik awak duduk belakang. Kesian akak kaunter ni tau.” Seraya tiket diserahkan kepada Fahmi, lelaki itu terus berlalu. “Terima kasih kak!” ujar Fahmi. Gadis di kaunter itu hanya tersenyum. Budak lepasan SPM ni. Bisik hati kecil gadis bernama Afiqah itu.

            Q hanya terdiam. Selepas membeli tiket, mereka beratur pula untuk membeli makanan. Keyla dan Akira di kaunter yang berlainan. Lebih cepat begini. Q mendekati kaunter dan mula untuk memesan makanan ringan. Fahmi yang entah dari mana, mencelah dahulu.

            “Kak, air saya?” minta Fahmi. Q memandang lelaki di sebelahnya. Dia ni memang sengaja nak cari gaduh ke?

            “Hey! Tak cukup tadi potong barisan saya? Nak beli makanan pun nak potong juga?” Q geram.

            “Hello makcik gerhana. Saya datang dulu okay.” Fahmi buat bodoh dan menunggu airnya di kaunter.

        “Excuse me? Saya yang beratur dari tadi. Tak nampak pula awak depan saya.” Q tidak mahu mengalah. Air coke kemudiannya diserahkan kepada Fahmi. Namun cepat sahaja dirampas Q.

            “Saya punya. Saya yang datang dulu.” Q tetap berkeras. Berkerut dahi Fahmi.

            “Akak! Dia ambil air kita!” Fahmi merungut kepada gadis di kaunter makanan yang bernama Farah.

            “Em, kak. Sebenarnya adik ni datang dulu. Dia dah bayar untuk air ni. Tadi dia angkat call kat sana. Dia ada minta saya tunggu sebentar daripada isi air dia. Bila dia datang tadi, baru saya isikan air untuk dia. Tak mahu ais cair.” Jelas Farah. Q memandang geram lelaki yang tersenyum kemenangan itu. Terus terbatal niat nak membeli makanan. Q lantas mendapatkan Keyla dan Akira setelah meletakkan kembali air coke itu di atas kaunter.

            “Kenapa ni? Kenapa tak beli makanan?” tanya Keyla.

            “Malas aku. Hilang selera aku.” Gumam Q.

            “Thanks akak.” Fahmi mengenyit mata pada Farah. Farah terkedu. Aish. Ni kalau bukan budak kecil ni, dah lama aku minta nombor telefon. Getus hati kecil Farah.

“KAY, Kira, aku nak pergi toilet kejap. Temankan?” Q tanpa menunggu jawapan balas dari Kay dan Kira terus menarik tangan dua sahabatnya itu.

            Mereka terlewat masuk sepuluh minit setelah cerita bermula. Akira dan Keyla masuk dahulu dan duduk di kerusi mereka. Tapi mereka pelik, tempat duduk Q telah diambil orang. Q yang tidak nampak dek cermin mata hitamnya, terduduk di atas lelaki yang mengambil tempat duduknya. Jeritan kecilnya mengejutkan orang ramai yang sedang khusyuk menonton.

            “Eh, sorry.” Q serba salah. Fahmi terkejut melihat Q. Makcik gerhana? Dibantu dengan serpihan cahaya dari panggung, Q dapat mengecam Fahmi.

            “Awak?!” Q bertambah geram. “Ini seat saya!” tekan Q.

            “Seat makcik eh? Saya silap la ni?” Fahmi seakan tak malu langsung dia tersilap ambil tempat duduk.

            “Shhssh!” suara-suara sumbang di keliling mula mengarahkan mereka untuk senyap.

            “Makcik ambil ajelah seat saya yang kat sebelah ni. Kita tertukar seat aje, kan. Sama aje.” Fahmi menepuk-nepuk tempat duduk di sebelahnya yang sepatutnya menjadi miliknya.

            “Awak jangan bagi saya naik angin!” marah Q.

            “Kita orang yang naik angin dengan kau! Duduklah! Orang belakang ni tak nampaklah!” marah salah seorang penonton. Q mula malu.

            “Makcik, duduk ajelah kat sini. Nanti lagi malu.” Ujar Fahmi. Nak tak nak, Q duduk di tempat yang telah ditarik seatnya oleh Fahmi untuk dia.

            Q kemudiannya menanggalkan cermin mata hitamnya. Fahmi yang perasan gadis di sebelahnya baru menurunkan cermin mata ternganga.

            “Huk aloh! Mua’laf ke awak ni? Mata kecil macam cina. Mua’laf eh?” Fahmi kini lebih berminat dengan Q. Q menjeling Fahmi.

            “Diamlah.” Q terus menalakan matanya ke arah skrin besar. Fahmi muncung bibir. Dia kembali menegakkan badannya memandang skrin. Tapi matanya kembali memandang Q.

            “Tapi awak takde pelat cina pula kan?” Fahmi terus-terusan bertanya.

            “Diamlahhh!” marah Q. Dia cuba menurunkan volume suaranya.

            “Diamlah, diamlah. Dari tadi asyik cakap diamlah.” Fahmi mengajuk.

            Q memandang Fahmi. “Adik tolonglah jangan kacau akak.” Q separa berbisik. Fahmi kemudiannya mendekatkan bibirnya ke telinga Q yang kembali menegakkan kepalanya.

            “Kita tak kacau akak pun. Kita tanya aje. Itu pun salah ke? Kita nak tahu aje.” Jawab Fahmi.

            Q tidak mampu menahan geram. Kat rumah aku tension. Aku ingat bila aku datang sini tengok cerita komedi, boleh gelak hu-ha hu-ha, tension aku makin hilang. Rupanya makin tambah beban kepala aku ni! Dengan budak tak matang yang banyak soal ni lagi. Memang rasa macam nak bunuh orang pun ada.

            Q terus bangun dan keluar. Tak betah untuk duduk lama-lama. Fahmi terkejut. Salah aku ke? Fahmi turut sama bangun dan mengejar Q. Kata mak, kalau salah, mengaku salah dan minta maaf. Akira dan Keyla sudah selamat ke alam mimpi. Sememangnya mereka penat dan mengantuk. Tapi disebabkan Q, mereka sanggup meredah malam indah mereka semata-mata untuk menggembirakan hati Q.

            “Awak!” panggil Fahmi.

            “Eii! Tolonglah dik. Jangan kacau lagi. Serabut lah!” Q rimas diekori. Lepas keluar dari panggung wayang tadi, lelaki itu tidak putus-putus mengikutinya.

            “Berhentilah kejap. Jangan jalan laju sangat.” Minta Fahmi.

            “Nak apa lagi?” Q berhenti dan menoleh ke belakang. Matanya jelas kelihatan sembab. Bukan sepet cina lagi! Fahmi terkejut melihat mata Q. Lantas lelaki itu mendekati.

            “Mak saya kata, kalau kita buat silap kita kena minta maaf. Saya nak minta maaf. Saya mengguris hati awak, ke?” Fahmi bertanya. Mukanya sumpah macam baby face sehingga membuatkan Q terkedu sebentar.

            “Tak.” Jawab Q.

            “Boleh saya tanya, kenapa dengan mata awak? Awak menangis eh? Menangis sampai macam ni sekali?” banyak betul soalan Fahmi sehingga membuatkan Q malas nak jawab. Q meneruskan langkah. Namun lebih perlahan supaya membolehkan Fahmi mengikutinya.

            “Takde apa yang perlu awak tahu.” Balas Q.

            “Ni mesti sebab lelaki.” Serkap Fahmi. Terus pandangan Q mengalih ke arah Fahmi.

            “Kan? Betul kan?” Fahmi tahu, pancingnya mengena! Kan dah kata! Perempuan takde lain, kalau menangis teruk macam ni mesti sebab lelaki. Q tak menjawab, dia hanya diam dan mendengar.

            “Ada apa dengan cinta? Cinta ni hanya akan membunuh perasaan seseorang, tahu tak? Cinta tu memanglah mulanya seronok. Tapi bila sampai pada tahap sakit hati? Sampai ada yang sanggup bunuh diri tau. Dengarlah nasihat saya, cinta sebelum kahwin takkan ke mana. Kalau awak nak bercinta, baik awak bercinta lepas kahwin. Lagi afdal dan indah. Sweet gitu.” Fahmi tersengih. Q merenung lelaki di hadapannya. Dia pernah sakit hati ke?

            “Awak memang banyak cakap, eh?” tanya Q.

            “Hm? Boleh la. Saya tak boleh duduk senyap ajelah.” Fahmi sekali lagi menghadiahkan sebaris senyuman. Q memandang redup senyuman itu.


            “Dah. Diamlah.” Ujar Q selepas itu. Fahmi berkerut dahi.

            “Awak ni dari tadi asyik sebut diamlah. Tak bosan ke?”

            “Awak bosan dengar?”

            “Bukan setakat bosan, naik nanah dah telinga saya ni dengar.”

            “Kalau macam tu, dipersilakan tuan raja pergi main jauh-jauh dari hamba.” Q melewati kedai-kedai yang telah lama tutup. Dia memerhatikan sekeliling. Mana ada kedai-kedai nak buka tengah malam macam ni. Mereka pun tahu tidur.

            Fahmi tetap mengikuti langkah Q. Rasa serba salahnya bertimpa. Mesti bazir aje tiket yang gadis ni beli. Kalau bukan sebab kau, Mi.. dia takkan keluar dari panggung tu tau! Fahmi membebeli dirinya sendiri.

            Langkah Q tersekat. Kakinya tidak mampu melangkah lagi apabila matanya menangkap dua kujur tubuh yang sedang bergurau senda sementara menunggu escalator sampai di mana Q berdiri. Salah satu daripadanya, dia kenali!

            Lelaki dan perempuan itu berpelukan. Mereka berdua berjalan melepasi tubuh Q. Lelaki itu langsung tidak memandang Q. Ya. Lelaki itu kelihatan bahagia. Harith kelihatan sangat bahagia dengan isterinya. Air mata Q sekali lagi jatuh tanpa dipinta.

            Fahmi yang melihat kejadian itu turut sama memandang belakang tubuh lelaki yang baru lalu itu. Matanya kembali menatap mata Q. Oh. Lelaki itu puncanya?

            “Saya tolong awak, nak?” tanya Fahmi. Serta merta Q mematikan lamunan dan tidak terus melayan perasaan sedihnya. Hatinya mula tertarik dengan suara di hadapannya kini. Eh tak, bukan suara, tapi apa yang diperkatakan baru tadi.

            “Tolong apa?”

            “Dia tak layak untuk awak. Bermaksiat di hadapan umum, sungguh tak boleh diterima!” Fahmi lantas mengekori pasangan itu. Q terkejut. Dia ingin memanggil, tapi sayangnya dia tidak tahu nama lelaki itu.

            “Awak! Awak!!” panggil Q sambil membuntuti jejak Fahmi. Harith kenal suara itu. Dia berpusing dan DUSH!

            “Lain kali, retilah nak hargai perempuan. Perempuan ni bukan barang mainan. Jangan suka sangat permainkan hati orang.” Kata Fahmi. Harith terkedu. Arissa membulat mata melihat suaminya dipukul.


            “Apa ni?!” marah Arissa.

            “Kalau kau tinggalkan perempuan seperti dia yang cukup sempurna tutup tubuh dia untuk perempuan yang pakai baju tapi macam bogel, nampak sangat kepala otak kau tu ada wayar yang tersilap connected. Tersilap cucuklah tu. Kau nak aku betulkan ke wayar yang tersilap tu?” geram pula Fahmi dibuatnya.

            “You ni kenapa?! Suka hati main tumbuk-tumbuk suami orang?” marah Arissa. Fahmi terkejut. Suami? Fahmi memandang Q yang sedang menggigit bibir berdiri di belakangnya. Dahinya berkerut.

            Harith merenung Q. Q menunduk. Gadis itu terlalu malu dengan apa yang berlaku dan terus menapak ke belakang dan terus berlari. Fahmi tidak fikir panjang, “Maaf.” Ujarnya dan terus mengejar Q.

“SUAMI orang pun awak nak?” sindir Fahmi. Q hanya senyap. Malas nak bertekak lagi. Takde apa yang perlu dia perkatakan. Lelaki ini tak faham keadaan aku. Dia sendiri yang membabi buta buat keputusan untuk bertindak.

            “Saya tak fahamlah dengan perempuan sekarang ni. Kenapa milik orang juga yang kau orang kejar-kejarkan? Ada apa sangat dengan milik orang ni? Kenapa mesti milik orang?” Fahmi mengambil tempat di sisi Q di kerusi panjang yang tersedia.

            “Kalau tak tahu, jangan nak bertindak sendiri. Awak tak tahu keadaan kami macam mana.” Q akhirnya bersuara.

            “Keadaan macam mana sekalipun, kalau dah namanya suami orang.. tak payah kot nak tanam perasaan, nak membaja benih cinta.” Fahmi menunduk. Sikunya di atas paha, dan jemarinya bergenggaman antara satu sama lain.

            “Kan saya dah kata, awak tak faham. So jangan nak judge orang.” Balas Q.

            Fahmi bangun dan berlalu pergi. Sebelum dia berlalu, “Suami orang, bukan milik awak. Jangan kacau kebahagiaan orang lain.”

            Kata-kata Fahmi membuatkan Q tersentap. Aku tak ganggu kebahagiaan dia! Langsung tidak! Malahan aku mendoakan kebahagiaan dia, budak!

            “Saya tak kacau dia!” Q bangun dan mengekori Fahmi. Fahmi berjalan tanpa mempedulikan Q langsung. Q menitiskan air mata. Aku bukan pemusnah kebahagiaan orang lain... jerit hatinya.

            Q sempat menarik sedikit baju Fahmi di bahagian belakang. Tidak kuat, tidak juga lemah. Fahmi menghentikan langkah. Dia menoleh. Dia memang tak suka melihat air mata perempuan jatuh. Dia lemah dengan yang satu itu.

            “Dahlah. Janganlah menangis.” Pujuk Fahmi.

            “Saya tak musnahkan kebahagiaan dia. Malahan saya bagi dia bahagia. Saya doakan dia bahagia siang dan malam. Kebahagiaan saya yang sedang musnah! Saya punya kebahagiaan!” Q tidak mampu membendung rasa. Kakinya lemah. Tidak sampai sesaat, dia terduduk menahan sendu. Fahmi mengetap gigi. Dia memandang sekeliling sebelum berlutut di hadapan Q yang sedang menunduk.

            “Nak aiskrim?” tanya Fahmi. Q mendongak. Air hidungnya sudah mula meleleh. Dia mengangguk.

            Fahmi tersenyum. “Lap dulu air hidung tu. Meleleh dah nak cecah lantai ha.” Entah kenapa, begitu mudah Q terpujuk dengan kata-kata lelaki itu.

4 comments: