Latest Post! Check it out!

DTM 13

Plastik sampah besar itu diletakkan di tempat duduk belakang. Tali pinggang keledar ditarik. Alan turut sama menarik tali pinggang kele...

Thursday, March 21, 2013

PRMH 3



“Taraaa!” Fahmi mengangkat-angkat keningnya sambil menunjukkan pelekat P yang baru ditampal sebentar tadi. Umur dah 26 pun masih tampal pelekat P. Fahmi.. fahmi..
            “Baguslah.” Q tersenyum.
            “Hm. Boleh tolong tak?” sambung Q.
            “Apa dia?”
            “Saya nak pergi kedai. Tapi Kay dengan Kira dah keluar. Boleh tolong hantarkan tak?” tanya Q.
            “Boleh aje.” Fahmi langsung tak berkira.
            “Sorry menyusahkan.”
            “Eh takpe. Semalam pun awak dah cukup menyusahkan saya.” Balas Fahmi selamba. Q yang sedang mengunci pintu pagar menoleh.
            “Kiranya semalam tolong tak ikhlas lah?”
            “Bukan yang itu. Pasal alamat rumah tu. Itu dah cukup menyusahkan saya macam mana nak cari alamat rumah awak.”
            Selesai mengunci pintu pagar, Q mendekati kereta Fahmi.
            “Macam mana awak tahu rumah saya?”
            “Masuk dulu kereta. Panas ni. Kejap lagi kita cerita.” Jawab Fahmi. Q mengecilkan mata. Pelik tapi Q hanya menurut. Lega juga! Air-cond mengena wajahnya yang sedikit berpeluh menahan terik matahari.
            “Hm. Ceritalah.” Gesa Q.
            “Saya selongkar handbag awak.” Jujur betul Fahmi.
            “You, what?!” Q mencerlung merenung Fahmi.
            “Takkan saya nak kejut awak. Tidur sampai air liur menitik. Kesian pula saya tengok. Maybe sebab awak letih menangis kot.”
            Q automatik mengesat mulutnya. Argh! Q, itu hal semalam kalau nak menitik air liur pun!
            Fahmi ketawa kecil.
            “Apa yang awak jumpa dalam beg saya?” tanya Q. Geram betul! Pantang tau orang buka beg tanpa kebenaran ni.
            “Macam biasalah. Barang-barang perempuan. Bedak, cermin, alat mekap, pad.” Fahmi yang sedang memandu laju tiba-tiba menerima hadiah debikan di lengan kirinya.
            “Sakitlah!” berkerut dahi Fahmi menahan sakit. Ya, memang sakit! Tak tipu!!
            “Berani awak selongkar beg saya!!!” Q menjerit dalam kereta.
            “Nak buat macam mana? Darurat.”
            “Banyaklah awak punya darurat!”
            “Itu kira baiklah phone awak dalam beg, kalau dalam poket seluar?” soalan Fahmi membuatkan Q terkedu.
            “Tapi awak menceroboh barang peribadi saya.” Q berpeluk tubuh.
            “Ni kita nak pergi mana?” Fahmi sudah hilang tumpuan memandu. Mana aku nak pergi ni.
            “Ubah topik!”
            “Ya Allah! Betullah. Kita nak pergi arah mana ni? Kang kalau saya bawa awak pergi tempat bukan-bukan kang, kena debik lagi.”
            Sindiran Fahmi membuatkan Q merengus geram, seterusnya memberitahu terus arah tuju mereka. Ingat Q, lain kali tak payah nak rahsia-rahsia sangat. Sama aje kalau kau bagitahu rumah kau kat mana. Kalau tak bagitahu pun, dia akan sampai kat rumah kau juga. Apa lah yang kau fikirkan semalam, Q? Pad kot! Arghh! Malu menebal, tak payah nak kata.


SETELAH sampai di kedai yang dituju, Fahmi turut sama turun dari kereta. Niatnya untuk membantu gadis itu membuka kedai.
            “Ni kedai awak?” tanya Fahmi apabila melangkah masuk ke dalam kedai.
            “Kedai arwah mak ayah saya.” Jawab Q.
            Arwah? Anak yatim piatu rupanya. “Awak anak tunggal ke?” tanya Fahmi lagi.
            “Tak. Anak sulung kepada tiga orang adik lagi.” Q terus ke kaunter dan mengemas apa yang patut.
            “Mana adik-adik awak?” Fahmi menarik kerusi yang berdekatan dengan kaunter. Q yang dari tadi menunduk, hanya mengerling mata memandang lelaki yang sedang memerhatikan sekeliling itu.
            “Sekolah asrama.”
            “Tiga-tiga sekali?”
            “Yup. Awak nak minum apa?” Q bertanya sebelum melangkah ke dapur.
            “Teh O’ ais limau.” Jawab Fahmi selamba. Langkah Q untuk ke dapur terhenti. Dia menoleh.
            “Kat sini mana ada air macam tu. Dalam ni just ada latte, cappucino dan seangkatan dengannya.” Budak ni buat lawak dengan aku ke?
            “Ha? Kedai kek memang sediakan air macam ni aje ke?” soal Fahmi.
            “Memang ini aje yang ditawarkan since mak dengan ayah saya buka kedai ni. Ni kedai kek, bukan restoran.”
            “Tapi tak salah, kan kalau nak ada air macam yang saya minta?”
            Q menjeling. Payah layan budak kecil macam ni. Q terus ke dapur. Kadang-kadang dia menyenangkan, kadang-kadang dia menyakitkan hati. Q membancuh secawan latte untuk Fahmi.
            “Nah.” Q mengambil tempat di hadapan Fahmi. Fahmi merenung dalam air yang ada di hadapannya. Dia mendekatkan hidungnya ke cawan. Untuk mencium bau.
            “Ni teh o’ ais limau awak ke?” tanya Fahmi. Q merengus geram. Dia tersenyum kemudiannya.
            “Yup. Special kan?”
            “Macam pelik aje.”
            “Rasalah dulu.” Pelawa Q. Fahmi yang sememangnya tidak meminati jenis minuman seperti itu hanya mencuba untuk menjaga hati Q.
            Sekali diteguk, dua kali.. tiga kali.. Fahmi mendongak merenung Q. Q tersenyum.
            “Latte. Mungkin budak macam awak ni tak reti nak minum minuman macam ni. Tapi good try kan? Okay tak?”
            “Sedap juga.” Fahmi tersengih.
            “Ni, awak kerja seorang aje ke?” setelah sekian lama membisu, Fahmi akhirnya bersuara. Lattenya hanya tinggal suku lagi.
            “Mana mampu nak ambil pekerja buat masa ni. Ada banyak lagi benda yang memerlukan duit keuntungan Torta Cafe.” Jelas Q.
            “Torta?”
            “Torta tu hasil idea dari mak dengan ayah. Maksudnya kek.”
            “Oh. Sejak bila awak kerja kat sini?” Fahmi mula minat untuk mengambil tahu perihal gadis di hadapannya ini.
            “Dua tahun lepas. Semenjak mak dengan ayah saya meninggal.”
            “Mak ayah awak meninggal..” tak sempat Fahmi menyambung, Q terlebih dahulu menjawab, “Kanser. Ayah meninggal dulu sebab kanser usus bulan empat. Bulan sembilan, mak meninggal sebab leukimia.” Q sendiri ingin menceritakan apa yang telah terjadi.
            “Oh.” Fahmi menunduk.
            “Nak rasa kek kat sini?” tanya Q.
            “Hm? Saya tak minat kek lah.”
            “Saya pandai buat cheese cake tau.” Q bercerita.
            Tiba-tiba telefon bimbit Fahmi berbunyi. “Assalamualaikum.” Fahmi bersuara dahulu.
            “Oh. Okay.” Setelah talian dimatikan dengan salam, Fahmi bangun dari tempat duduk.
            “Kenapa?” Q pelik.
            “Tiba-tiba bos minta kertas kerja pula. Saya nak kena hantar kertas kerja dulu. Nanti saya datang balik eh?” Fahmi berkira-kira untuk pergi.
            “Kertas kerja? Awak kata awak budak lepasan SPM? Kertas kerja apa pula?” Q pelik. Kaki Fahmi berhenti melangkah. Ahh. Silap cakap.
            “Awak bukan budak lepasan SPM?” Q berdiri berhadapan dengan Fahmi. Kantoi. Fahmi hanya tersengih. Jelas kemarahan dari muka Q.
            “Saya Fahmi Alan Fikrash. Arkitek. Umur 26. Belum berkahwin. Saya tak duduk dengan mak ayah saya lagi. Saya duduk kat rumah sendiri. P saya dah enam tahun tamat.” Sengihan Fahmi kali ni tak mampu menyejukkan rasa panas hati Q.
            “Keluar, dan jangan balik lagi!” Q mengarah.
            “Eh awak? Takkan marah kot.”
            Mahu tak marah?! Umur aku baru 24 kot! Dia dah 26. Mati-matian aku ingat dia budak.
            “Semalam awak kata, saya kawan awak.” Fahmi memujuk.
            “Saya tak berkawan dengan penipu macam awak.”
            “Saya tak menipu pun.” Fahmi buat muka sedih.
            “Mak tak marah konon.” Q memeluk tubuh. Fahmi menghela keluhan.
            “Saya minta maaf okay. Saya cuma tak nak awak tak selesa dengan saya. Kalau awak tahu saya bukan budak lepasan SPM, takkan punya awak nak saya hantar awak balik. Mesti awak akan ragu-ragu dengan saya kan?”
            “Diamlah.”
            “Dah agak dah benda tu yang akan keluar dari mulut awak. Kejap lagi saya datang balik okay? Awak buatkan cheese cake tau. Oreo cheese cake.” Fahmi memancing minat Q. Q mencebik.
            “Menipu lagi. Tadi kata tak minat kek.”
            “Saya kata tak minat kek. Sebab saya tengok kat dalam kedai ni, semua macam jenis kek span. Saya minat oreo cheese cake aje.”
            “Cakap putar belit.”
            “Eh? Nanti saya datang balik tau! Tau! Tunggu tau!!” Fahmi mengenyit mata pada Q. Q tersentak. Dia menelan air liur. Bencilah perasaan macam ni! Getus hati kecilnya.


Q masuk ke dalam dapur. Lengan baju disenteng. Bahan-bahan yang ada di dalam peti ais semuanya lengkap. Tak perlulah dia pergi ke kedai kek di hujung sana untuk membeli bahan-bahan.
            Hatinya tenang buat seketika. Sungguh tenang. Cheese cake. Sama macam kegemaran ayah. Q tersenyum. Sama juga dengan Harith. Senyuman terus mati.
            Dikala Q leka mengadun adunan, telefon bimbitnya berdering. Ni kalau bukan Kay, mesti Kira. Antara salah seorang.
            Q yang dari tadi memasang earphone terus menekan butang terima tanpa melihat siapa si pemanggil.
            “Hello? Assalamualaikum.” Sapa Q. Semenjak Fahmi menegurnya tentang memberi salam, dia tahu, dia perlu berubah. Samada pada Keyla mahupun Akira.
            “Waalaikumussalam.” Suara garau di hujung talian membuatkan tangan Q berhenti bekerja.
            “Harith..” Q tidak tahu nak berkata apa.
            “Q, yang semalam tu..”
            “Oh maaf. Salah faham.”
            “Bukan. Harith nak tanya aje, lelaki semalam tu, boyfriend Q ke?” tanya Harith terus. Tidak mahu berdalih-dalih. Q senyap. Dia cemburu ke?
            “Kenapa tanya macam tu?” Q tidak menjawab terus pertanyaan Harith.
            “Harith tak suka Q kawan dengan orang macam tu.” Harith menyatakan ketidakpuashatiannya. Sebenarnya dia lebih kepada cemburu.
            “Harith.. awak suami orang. Bukan kekasih Q lagi.” Q mengeluh lemah.
            “Tapi Q..”
            “Dia memang boyfriend Q. Maaf pasal semalam. Assalamualaikum.” Q terus mematikan talian dan menarik earphone jauh dari telinganya.
            Keluhan demi keluhan keluar dari mulut Q. Dah lebih sejam dia berdiri menyiapkan kek. Hilang terus rasa semangatnya nak buat kek. Sepatutnya kerja boleh siap kurang dari satu jam, ini tidak.. dah hampir sejam lebih. Masih lagi tak siap.
            “Apa yang mengeluh tak henti-henti ni?” Fahmi datang dari belakang tanpa salam yang menyebabkan Q terkejut.
            “Bagi salam dulu lain kali, boleh tak?” geram Q dibuatnya.
            “Dah bagi salam. Dia yang tak dengar. Asyik mengeluh dua puluh empat jam. Lamanya nak siapkan kek!” Fahmi menjungkit sikit untuk melihat hasil kerja Q.
            “Diamlah.”
            “Diamlah.. diamlah... Takde benda lain ke nak sebut? Diamlah!” Fahmi mengejek.
            “Dah hantar ke kertas kerja tu?” Q mengubah topik. Malas nak bertekak.
            “Dah.”
            “Q, marah lagi ke?” sambung Fahmi.
            “Mana awak tahu nama saya Q?” Q menoleh.
            “Semalam call kawan awak, dia ada sebut nama awak. Tapi saya tahu nama awak, Q aje. Nama penuh apa?”
            “Hmm.” Q kembali berpusing dan meneruskan kerjanya.
            “Nama?” Fahmi mendekati. Selagi jawapannya tidak diperolehi, selagi tu dia takkan berganjak.
            “Kejap lagi kek nak siap, awak pergilah duduk kat kerusi dulu.” Pinta Q.
            “Saya tanya nama awak dulu, kan?” Fahmi tak mahu mengalah. Q menarik nafas sedalamnya.
            “Nama saya Qurratu’ain Syafinaz. Ada apa-apa lagi nak tanya?” Q merenung anak mata Fahmi. Fahmi tersenyum.
            “Kan senang kalau ditanya terus jawab.” Fahmi terus mendekati Q.
            “Lah. Kan saya dah kata duduk kat depan.” Q mengeluh.
            “Asyik-asyik mengeluh aje awak ni tau. Apa kata awak berhenti mengeluh untuk hari ni. Hari esok, kurangkan keluhan. Kan bagus macam tu.”
            “Saya takkan mengeluh kalau awak tak kacau ketenteraman saya.”
            “Semalam saya tolong awak tau. Kalau tak, mesti awak menangis sampai tak boleh buka mata langsung. Betul-betul macam makcik Korea.”
            “Awak ni memang menyakitkan hati, kan?”
            “Saya sakitkan hati awak ke?”
            “Lebih dari menyakitkan hati!” Q menolak tubuh Fahmi dengan bahunya lantas berjalan ke peti ais untuk menyimpan kek yang sudah siap dibentuk.
            Fahmi hanya tersenyum.
            “Sebelum ni memang awak belajar bakery ke?” Fahmi melompat naik duduk di bar kabinet.
            “Amboi! Suka hati awak aje duduk atas bar saya? Turun!”
            “Cepatlah jawab. Kalau tak, saya tak turun.”
            “Ish! Saya sebelum ni ambil kedoktoran. Berhenti half way sebab mak ayah meninggal.”
            “Tak dapat biasiswa ke?” Fahmi menggoyang-goyang kaki ke depan dan ke belakang. Q turut sama naik dan duduk di atas bar kabinet yang berhadapan dengan kabinet yang Fahmi duduki.
            “Hey! Apa duduk atas bar? Turun cepat!” arah Fahmi pula. Amboi. Q mencebik, dia membuka mulut untuk berkata sesuatu, tetapi Fahmi mendahului, “Diamlah.” Fahmi tersengih. Q ketawa.
            “Dah tahu? Baguslah.”
            “Awak dah ulang banyak kali, kalau tak tahu juga, tak tahu nak kata pekak ke apa. Walaupun baru kenal awak dua hari, tapi saya dah boleh tahu apa yang awak nak kata.” Fahmi mengenyitkan mata.
            “Hmm. Saya dapat biasiswa. Ramai kawan saya marah sebab nak berhenti belajar. Nak buat macam mana? Adik-adik siapa nak jaga? Saya belajar, habis duit makan dia orang? Tak boleh la. Terlalu banyak benda nak kena fikir.” Q kembali kepada soalan Fahmi sebelum ini.
            “Sayangnya.” Fahmi menunduk melihat jari kakinya. Q hanya memerhati.
            “Kira banyak kali pun jari kaki tu, tetap ada sepuluh. Tak lebih. Melainkan awak ada 11 jari?” usik Q. Fahmi mendongak.
            “Jari kaki saya memang ada sebelas. Mana awak tahu? Awak belek kaki saya ke?” Fahmi berkata serius. Q terlopong. Serius ke budak ni?
            “Muka tak percaya lah tu. Meh la tengok.” Fahmi boleh agak apa yang ada dalam kepala Q. Q turun dari bar dan mendekati kaki Fahmi untuk melihat. Dia menunduk. Lantas Fahmi menghayun sekadar mengacah Q. Dek terkejut, Q segera ke belakang.
            “Hey!” marah Q.
            “Saya belum cacat lagi nak ada sebelah jari.” Fahmi ketawa sendiri. Q mengerutkan dahi. Budak ni, kalau tak kenakan aku, tak sah!
            “Awak tak kerja pula hari ni?” Q beralih ke tempat lain.
            “Hari ni ahad. Saya pun tahu rehat juga.”
            “Saya ingat orang macam awak ni tak reti nak rehat.” Sindir Q.
            “Saya pun manusia. Reti penat.”
            “Awak takde tempat nak pergi ke? Daripada melepak kat kedai saya ni.” Q menyusun roti.
            “Hari ni, hari melepak saya. Saya dah jumpa tempat yang perfect! So, setiap hari ahad, saya akan datang sini. Okay?” Fahmi turun dari bar dan mendekati Q.       
            “Siapa benarkan?” Q sedar Fahmi mendekati.
            “Biarlah saya nak datang! Tapi buat masa ni, saya kena pergi. Cheese cake tu tak siap lagi ke?” tanya Fahmi. Q menoleh. Nak pergi dah? Kejapnya.
            “Hmm. Belum. Awak tak nak tunggu dulu ke kek tu sejuk?” tanya Q.
            Fahmi jungkit kening. “Kenapa? Tak nak saya pergi?” Fahmi mengusik. Q ketawa kecil.
            “Siapa kata? Lagi seronok awak pergi, dari menyibuk kat sini.”
            “Ye ke? Kalau awak nak saya teman, saya teman. Tapi kalau tak nak, takpelah. Saya pergi.” Fahmi mengatur langkah ke pintu utama.
            “Pergilah. Hati-hati bawa kereta.” Ujar Q tanpa melihat lelaki itu pergi. Dia masih lagi menunduk membuat kerja. “Assalamualaikum.” Kata Fahmi sebelum keluar dari kedai itu.
            Q mendongak. Betul-betul dah keluar? Hm. Hilang senyuman dari wajah Q. Dia kembali menyambung kerjanya. Seketika kemudian, terdengar pintu dikuak. Q tersenyum semula. Dah agak. Mesti acah aje nak pergi.
            “Masuk balik? Kata nak..” Q terkejut melihat lelaki yang baru sahaja berjalan masuk ke dalam kedainya.
            “Harith..” Q agak terkejut.
            “Hai Q.” Harith terus mendapatkan Q.
            “Harith buat apa kat sini?”
            “Beli kek.” Jawab Harith dengan segaris senyuman.
            “Oh. Nak kek apa?” Q menghentikan kerjanya dan bergerak ke arah kek yang sudah tersusun di rak kek.
            “Hmm. Cheese cake ada?”
            “Cheese? Cake?” Q teragak-agak. Kek yang dia baru buat tadi, sebenarnya untuk Fahmi.
            “Ada. Baru buat tadi.” Kata Q jujur.
            “Q yang buat, kan?”
            “Mestilah. Mana ada pekerja lain yang nak buat kek kat sini. Q aje yang kerja sini.”
            “Mana nak tahu Keyla yang buat ke..”
            “Kenapa? Kay buat pun sedap apa.”
            “Q punya lagi sedap.” Gulp. Q terkedu. Dia tersenyum kelat.
            “Harith nak sekarang ke?” tanya Q.
            “Hmm.. Harith lepak sini dulu kot. Macam biasa.” Harith terus mengambil tempat di meja makan. Q menghela nafas. Nak tercekik aku dibuatnya. Manakan tidak? Rasa sayang masih bersisa. Gila kau tak sayang? Hah?! Aku sendiri yang lepaskan dia, bukan dia yang lepaskan aku. Dalam hati, tak rela pula tu!
            Q terus menyiapkan Latte kegemaran Harith.
            “Nah.” Q meletakkan secawan Latte sebelum balik semula ke kaunter.
            “Eh, duduklah sini dulu. Bukan ada orang pun dalam kedai ni. Q nak buat kerja apa aje? Duduklah sini. Teman Harith kejap.” Pinta Harith. Q tiada pilihan lain. Tadi baru call aku, ni tiba-tiba datang sini, bininya mana?
            “Anissa mana?”
            “Oh. Dia tak bangun tidur lagi.” Jawab Harith sambil menghirup Latte. Q terkedu. Jam di dinding ditenung. Dah nak tengah hari pun tak bangun lagi?!
            “Boyfriend baru Q tu.. er.. mana Q kenal dia?” Harith mula cari tahu. Memang itu niatnya dari mula dia datang!
            “Hm? Dah lama.” Tipu Q.
            “Harith tak suka dia.”
            “Kenapa?”
            “Sebab Harith tak suka.” Harith serius. Matanya tepat merenung anak mata Q. Q mengeluh lantas menyandar.
            “Harith, it’s now about you. And it’s about me. There’s no us. Masing-masing buat haluan sendiri. Lagipun Harith dah beristeri.”
            “Tapi Harith tahu Q masih sayangkan Harith, kan?”
            “Harith.. awak dah ada isteri. Tolonglah faham.”
            “Q tak rela lepaskan Harith, kan? Semalam tu, awak menangis. Sebab Harith, kan?”
            “Memanglah benda macam ni makan masa. Tapi Q yang ambil keputusan macam ni. Q tengok, Harith pun dah bahagia.”
            “Harith tak bahagia.” Harith memandang tempat lain. Q terkejut. Dia ingin bertanya lebih lanjut, tapi ini bukan hal dia. Dia tak perlu ambil tahu!
            “Bahagia atau tidak, Harith sendiri dah setuju dengan perkahwinan ni.”
            Harith memandang semula wajah Q. “Q, Harith ceraikan Nissa, kemudian kita kahwin.. nak?”
            Q membulatkan mata. Apa ni? Harith yang dia kenali bukan macam ni.
            “Harith, jangan buat kerja gilalah.”
            “Nissa tak seperti yang saya harapkan.” Rungut Harith. Q terus bangun dari kerusi. Dia ke dapur. Harith mengekori.
            “Nissa tak macam Q. Dia tak sempurna macam Q!” adu Harith lagi. Q terus sahaja mengeluarkan cheese cake dari peti sejuk dan mencari kotak untuk membalutinya.
            “Jangan pernah bandingkan isteri Harith dengan orang lain. Dan sememangnya semua orang tak sempurna. Masing-masing ada kisah silam masing-masing. Harith tak boleh mengharapkan seorang sesempurna bidadari.” Q memasukkan kotak kek ke dalam plastik.
            “Harith mengaku, Harith gilakan harta dia. Tapi Harith tak sangka yang dia dah tak suci!”
            Q terkedu. Q, ini bukan kerja kau. Kau tak perlu ambil tahu. Kau dah lepaskan lelaki ini. Kau dah biarkan lelaki ini berkahwin dengan perempuan lain. Lelaki ini jugalah yang tak pernah nak mempertahankan cinta korang berdua.
            Dalam hati, Q mula mengiakan apa yang Akira pernah kata, “Ayah dia carikan calon isteri, sebab dia sendiri tak pernah nak kenalkan kau pada orang tua dia. Aku rasa kalau ayah dia tahu yang dia dah ada calon, tak mungkin ayah dia nak kenenkan dia dengan anak orang lain. Harith sendiri tak membangkang permintaan orang tua dia. Angguk aje semuanya. Tak pernah nak fikir perasaan kau. Macam tu ke sayang?”
            “Sebab tu ke Harith tak pernah nak cerita pasal Q kat ayah Harith? Sebab tu ke Harith tak menolak langsung dan tak pertahankan cinta kita? Sebab harta?” tanya Q. Tajam renungannya. Harith telan air liur. Terlepas cakap!
            “Q.. Harith...” dia hilang kata-kata.
            “Harta boleh dicari Harith. Semoga Harith berbahagia. Jangan pernah datang ke sini lagi.” Q menyerahkan kek itu kepada Harith.
            “Q.. Harith tak maksudkan macam tu..” Harith cuba memujuk.
            Q terus sahaja masuk ke bilik yang disediakan untuk berehat. Pintu itu dikunci. Rupanya begitu.. sebab harta, Harith berpaling tadah? Alhamdulillah.. Allah tunjukkan jalan pada kau, Q.
            “Q!” Harith mengetuk pintu bilik itu.
            “Anggap sahaja kek yang Q bagi tu, hadiah perkahwinan kau orang. Selamat pengantin baru. Sila pergi.” Kata Q. Air matanya menitis. Berakhirnya suatu perhubungan, kerana harta. Tak sangka. Q ingat, Q kenal Harith. Tak sangka...

2 comments:

  1. aduh ain....hatiku menjerit minta n3 lagi minta n3 lagi heheheh bleh ke? :) best... umur 26 mcm lps spm hmmm mcm sape ye :) heheheh

    ReplyDelete
  2. huhuhuh.. :) macam siapa? entah . hiks . do enjoy the next entries nnti kay :)

    ReplyDelete