Latest Post!

Dendam Cinta Revamp 2

  KUNCI kereta dicampak ke atas meja. Malangnya tergelincir jatuh ke lantai dek kelajuan tahap maksima. Plastik ubat pula diletakkan di ata...

Dendam Cinta Revamp 2

 KUNCI kereta dicampak ke atas meja. Malangnya tergelincir jatuh ke lantai dek kelajuan tahap maksima. Plastik ubat pula diletakkan di atas kabinet. Tudung dicabut lantas dilempar ke sofa.

“Balik-balik terus mengamuk ni kenapa?” Adilah berkerut dahi melihat perubahan sikap Dyla sejurus pulang dari kelas.

Takde apa,” luah Dyla. Adilah membulat mata. Adilah bukan baru kenal Dyla. Walaupun dari belakang tubuh Dyla pun dia dapat baca sesuatu. Tapi kenapa dengan hari ni?

“Aku kenal kau Dyla. Cuba cerita. Kenapa?”

Gigi diketap rapat. Keluhan keluar. Air mata cuba ditahan. “Betul. Takde apa.” Lantas kaki melangkah naik ke biliknya. Dia cuba menyembunyikan benjolan di dahinya. Tubuh dihumban ke tilam. Mata dipejam rapat. Tidak mahu fikir. Tapi kemalangan tadi yang acap kali bermain di dalam fikirannya. Tidak sampai beberapa saat, matanya kembali dibuka.

‘Mana aku nak cari duit dua ribu? Macam dah pinjam dengan Ah Long!’ Lengan diletakkan ke atas dahi.

Au!” terus tangan diturunkan semula. Teringat pula dia dengan kejadian sebentar tadi.

Alfan setia menunggu dia di luar sementara dia masuk ke bilik doktor untuk memeriksa lebam di kepalanya. Nasib baik cuma lebam. Tidak ada gegaran otak atau retak di mana-mana. Tapi kenapalah lelaki tu sibuk betul nak bawa dia ke klinik?

Masuk je mereka ke dalam perut kereta semula, Alfan hambur ketawa seraya menoleh ke sisi.

“Aku tak pernah tengok lebam besar macam tu. Kau macam ada dua kepala. Tapi satu tumbuh kat dahi!” tawa itu kuat betul.

Berkerut dahi Dyla dibuatnya. Lelaki itu berborak seolah mereka macam dah kawan bertahun. Sempat nak ketawakan orang. Tapi betullah. Raut wajah lelaki itu ada sedikit iras dengan Alfan yang pernah dia kenal. Cuma perwatakan mereka jauh berbeza.

“Dyla, kita orang nak masak ni. Kau nak join tak?” tanya Saadah dari luar pintu bilik.

“Kejap lagi aku turun. Aku nak mandi kejap.”

Saadah mengangguk dan beredar. Dyla menghela nafas lemah. Telefon bimbitnya dicapai. Nombor ibu didail.

Belum sempat dia nak telefon, nama ‘ibu’ tertera dulu di skrin sentuh. Memanggil.

“Assalamualaikum ibu, akak baru nak call ibu,” sapa Dyla dengan suara lembut.

“Waalaikumussalam. Dah dua hari akak tak call ibu. Busy sangat ke?”

Assignment banyaklah ibu. Kalau akak free pun, pukul dua tiga pagi. Ibu dah tidur.”

Hm.. Duit ada lagi?” soal Puan Dalila.

“Ha? Kenapa bu?” Dyla pelik.

“Iyalah. Ibu takut akak takde duit. Aida pun baru minta duit dengan ibu. Habis dah duit ibu. Takde langsung simpanan. Gaji ayah lambat lagi,” cerita Puan Dalila.

Suara Dyla tersekat di kerongkong. ‘Aku baru nak minta duit, adik aku lagi laju dah minta.’

“Ada je. Cukup untuk sebulan.” Tipu sunat takpe kot eh?

Hm.. Akak berjimatlah guna duit tu tau sampai nanti ayah dapat gaji.”

“Iya bu.” Mengiakan aje.

“Ibu nak pergi surau ni. Nanti ibu call lain.”

“Okay bu. Kirim salam dekat adik dengan ayah.”

“Okay. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam, bu.” Talian dimatikan. Dyla terus terbaring.

“Ahh!” jerit Dyla. Stres!

“Kenapa?! Kenapa?!” Adilah dan Saadah berlari-lari dengan senduk di tangan menuju ke bilik Dyla. Terkejut Dyla dibuatnya.

“Er. Takde apa. Kau orang dah start masak ke?” bulat mata Dyla melihat Saadah datang dengan senduk.

Tapi kawan berdua itu lebih terkejut melihat dahi Dyla.

Weh dahi kau kenapa?!” nyaring suara dua manusia itu.

“Langgar Mr. Bean.” Dyla tersenyum sumbing.

 

 

“ADAH, DILAH.” Dyla memulakan bicara. Nasi di dalam pinggan masih belum diusik. Saadah yang sedang mencedok kuah hanya mengangkat wajah tanda ‘apa?’

Dyla belum menceritakan kemalangan yang berlaku tadi. “Kau orang boleh pinjamkan aku duit tak?” segan Dyla nak tanya. Tapi apa boleh buat? Dia pun takde pilihan.

“Berapa kau nak? Tapi sebelum tu, kau kena cerita dulu kenapa dengan dahi kau tu. Dah macam implan bola dah dekat situ,” kata Adilah. Saadah menyuap nasi ke dalam mulut. Turut sama menunggu cerita dari Dyla.

“Aku nak pinjam dua ribu.” Rendah suara Dyla. Saadah tersembur nasi ke muka Adilah. Adilah mengetap gigi sambil mengelap mukanya yang disembur nasi.

“Banyaknya!” kuat suara Saadah.

“Sebelum kau dapat jawapan, baik kau minta maaf kat aku. Sembur kat orang tak bagi salam! Apa punya anak dara kau ni!” bebel Adilah. Dyla tidak ada masa nak ketawa.

Sorrylah. Terkejut sangat.” Saadah tersipu.

“Apa kau buat, Dyla? Sampai dua ribu kau nak pinjam? Kau nak buat pembedahan dahi kau ke?” Adilah ingin tahu. Sempat juga diusik tentang kisah lebam yang masih misteri itu.

“Aku terlanggar kereta orang tadi. Mini Cooper pula. Kau tahu jelah kalau nak repair kereta mahal berapa harganya.”

“Lah! Kau accident ke tadi?! Tu sebab ke dahi kau lebam tu? Kenapa kau tak call je kita orang? Kau tahu kan kita orang takde kelas hari ni.” Laju mulut Saadah mengomel.

“Teruk ke kereta orang tu?” soal Adilah.

Takdelah kemik teruk sangat. Tapi nampaklah. Itu yang aku terkejut, nak buat sikit pun bukan main mahal lagi. Kereta aku pun nak kena repair. Haih.”

“Kan boleh claim insurans?” cadang Saadah.

Dyla pandang Saadah dan Adilah silih berganti.

“Tiga bulan dah insurans aku expired.”

“WHAT THE FISH!” serentak mereka berdua berkata. Macam mana minah ni boleh berani bawa kereta takde insurans? Itu roadtax confirm-confirm dah lama mampus!

“Kau kalau pergi balai ni, memang mampus!” jerit Adilah. Masih terkejut.

“Sebab tu lah aku tak buat report.” Muka Dyla dah macam muntah basi.

 

 

MEJA berdentum-dentum dek Dyla dok menghentak kepalanya ke atas meja. Tak ada cara lain ke nak cari duit dengan cepat? Mana aku nak pinjam? Telefon bimbit dicapai Dyla. Dia mencari nombor Ikram. ‘Nak call ke? Nak? Tak nak? Nak? Tak nak?’ Dyla berbelah bahagi.

‘Tak naklah susahkan Ikram. Sendiri yang cari masalah, menyusahkan orang lain pula.’ Dyla merengus. Satu hari ni entah berapa kali dia merengus.

Aplikasi Whatsapp dibuka. Nama Shah dicari. Lelaki itu online.

Dyla : Shah, orang tak freelah malam ni. Lain kali eh?

Beberapa minit Dyla menunggu balasan tapi hampa. Mungkin Shah tak kisah pun rancangan mereka dibatalkan. Tapi untuk Dyla, dia kecewa.

Dyla merenung sendiri ke dalam cermin. Benjol di dahi sudah kian surut tapi masih besar. Malu juga kalau nak jumpa Shah macam ni. Dah lama dia sukakan Shah tapi dia hanya menyimpan kemas sendiri perasaan itu. Sebab dia tak tahu kalau Shah juga mempunyai perasaan yang sama sepertinya. Kan malu kalau tiba-tiba meluah, tapi rupanya dia bertepuk sebelah tangan?

Telefon Dyla tercampak dek terkejut. Mengelamun sedap-sedap layan perasaan, tiba-tiba telefon berbunyi pula.

ENCIK ALFAN. Dyla merengus. Apa lagi mamat ni nak? Ke nak claim duit klinik tadi?

“Hello?” jawab Dyla dingin. Malas nak layan sebenarnya.

“Tadi kita tak pergi buat report polis pun. Kereta aku ni kau akan bayar macam mana kalau bukan insurans?”

Dyla telan liur. “Saya pakai duit sendiri.”

Panggilan itu sepi sebentar.

“Aku whatsapp nombor akaun aku kejap lagi, kau terus transfer situ je dua ribu. Nanti aku nak ambil kereta, kau tak payah nak susahkan diri turun ke bengkel lagi dah. Kau bayar kat aku je.”

Transfer sekarang?”

Yes.”

Dyla garu kening. “Sebelum tu, boleh tak kita jumpa kejap?” minta Dyla.

“Jumpa untuk apa?”

“Saya ada benda nak kena explain dekat encik dulu.”

“Kenapa pula aku kena jumpa kau? Aku nak duit kereta aku je.”

“Saya cuma nak selesaikan masalah ni.”

“Tak perlu jumpa. Bank in aje duit tu. Selesai masalah.”

“Kalau encik nak duit encik, encik kena jumpa saya.” Talian dimatikan. Dyla pejam mata. Mesej dihantar kemudian. Tempat dan masa untuk berjumpa.

Alfan termenung seketika. Eh, dia yang berhutang dengan aku, aku pula yang kena ugut?

‘Encik, encik, encik. Tua sangat ke aku ni? Panggillah abang ke. Sejuk sikit hati aku ni walaupun duit aku melayang kena bayar repair.’

 

 

“SO, mana duit aku?” lelaki di hadapan Dyla itu berperwatakan lain berbanding siang tadi. Alfan ber menanggalkan kot hitam, dan menyangkutnya di belakang kerusi. Kini dia cuma berkemeja biru cair dengan lengan baju dilipat ke paras siku. Dia berseluar slack dan berkasut formal hitam. Dyla cuba mencerna apa yang ada di hadapannya, tapi tak lumat juga! Mamat ni kerja apa malam-malam?

Hello?” Meja diketuk sederhana kuat membuatkan Dyla mengangkat wajah dengan riak muka terkejut.

To be honest, saya takde duit sebanyak tu.” Ibu kata berterus-terang adalah perkara yang terbaik.

Alfan kaku sebentar sebelum menarik dekat kerusi yang bertentangan dengan Dyla. Dahi gadis itu diperhatikan. Sudah surut sedikit benjolnya.

“Habis tu kalau kereta aku dah siap, macam mana kau nak bayar?”

Dyla mati kata-kata. Melihatkan Dyla yang hanya diam membeku, Alfan merengus perlahan.

“Esok kita pergi buat report. Paling-paling insurans kau boleh cover.”

“Kereta saya.. takde insurans.”

Alfan terkesima. Lama dia tenung wajah mulus itu. “Apa maksud kau takde insurans? Semua kereta sepatutnya ada insurans.”

“Dah mati. Saya tak dapat nak renew lagi.”

Alfan garu kening kemudiannya.

“Boleh tak, kalau saya bayar bulan-bulan dekat encik? Mungkin tak banyak, tapi setiap bulan saya janji akan ada duit yang masuk dalam akaun encik.”

Lama Alfan mendiamkan diri sebelum dia buka mulut semula. “Boleh. Tapi ingat, I’m not gonna leave you alone until you pay me back every cents.” Alfan bangkit dari kerusi tapi kemudian langkahnya terhenti. Dia berpaling. “Berhenti panggil aku encik.”

“Habis tu saya nak panggil apa?”

Anything, but not encik. Rimas.”

Alfan kemudiannya keluar dari restoran. Dia tak boleh nak duduk lebih lama di hadapan gadis itu. Tak betah!

Dyla hembus nafas lega. Badannya bersandar ke belakang. Air Mirinda di hadapannya diteguk rakus.

“Oh not to forget. Don’t ever think to run.” Entah bila masa pula lelaki itu kembali semula. Dyla hampir tersedak. Terasa pedih tekaknya dek air karbonat itu.

“Kau jangan terkejut kalau lepas ni aku akan muncul mengejut macam ni selalu. Dan kau jangan salahkan aku sebab kau sendiri yang decide nak berhutang dengan aku,” ujar Alfan.

Dyla terkebil-kebil.

 

 

SUDAH seminggu berlalu. Dyla garu kepala. Memang apa yang dikatakan Alfan minggu lepas betul-betul terjadi. Dia suka muncul secara mengejut. ‘Tak lama lagi memang kena heart attack aku ni.’

Dyla ke kafe untuk makan tengah hari. Macam-macam juadah yang terhidang. Di saat tangannya hendak mencapai senduk, jarinya tersentuh tangan seseorang yang turut sama ingin mengambil senduk itu. Dyla menoleh.

“Eh, Shah.”

Lelaki itu tersenyum. “Nak ambil ni juga ke? Orang tolong ambilkan eh?” laju aje tangan Shah mencedok kuah ke pinggan Dyla. Dyla tersengih.

Thank you.”

“Jom makan sekali?” ajak Shah. Dyla mengangguk.

“Dekat seminggu tak nampak. Busy ke?” soal Dyla memecah sunyi.

“Stres jugalah. Banyak pula nak kena handle aktiviti. Dengan program MPP, exam, kuiz. Orang ada tournament bola pula minggu depan.”

“Jangan aktif sangat, nanti letih. Study pun payah nak fokus.”

Shah senyum. “Risau?”

Jantung Dyla berdegup laju dari biasa.

“Risaulah. Awakkan kawan saya.”

“Kawan je?” Shah menduga. Dyla jadi tak tentu arah. Kau ni dah kenapa nak perangkap aku dengan soalan macam tu?

“Tak.” Dyla merenung anak mata Shah. Jemarinya digenggam kuat. Shah menunggu jawapan.

“Kawan baik.” Lantas bibir Dyla mengukir senyuman plastik. Bibir Shah perlahan-lahan mengukir senyuman nipis.

“I’m your bestest friend what ever it takes, tau,” ujar Shah. Dyla sengih seraya menyuap makanan ke dalam mulut. Apa eh maksud Shah?

Sorrylah pasal hari tu tak jadi nak makan sama,” kata Dyla tiba-tiba. Memang sejak kejadian itu, mereka tak berjumpa. Shah juga tak tahu tentang kemalangan yang dia alami. Aneh, walaupun dahinya sudah tidak benjol, tapi lebam itu meninggalkan tanda berwarna kekuningan. Kenapa Shah langsung tak tanya atau mungkin lelaki itu memang tak perasan?

Di sini je Dyla sudah boleh buat kesimpulan. Kalau dia, sedikit pun perubahan pada Shah, dia boleh nampak dengan jelas. Normalkan kalau kita nampak perubahan pada orang yang kita suka?

Takpe. Sebenarnya pun malam tu orang tak dapat nak keluar sebab ada program tiba-tiba. Orang lupa nak reply mesej awak.”

Dyla sengih sesaat. Kau tak tahu ke sampai hari ni aku tunggu kau reply mesej aku yang tu! Ish.

Pinggan Shah sudah hampir licin dia jamah.

“Hai,” sapa satu suara. Dyla menoleh perlahan-lahan. Jantung bagai nak tercopot dari tangkai.

Shah yang tidak mengenali susuk tubuh itu cuma senyum nipis. Dyla ketap bibir.

“Mind me to join you guys?” tanya Alfan.

“Tempat lain banyak lagi,” jawab Dyla. Sebenarnya sudah mulai muak dan rimas dengan kemunculan Alfan.

“Dyla...” tegur Shah.

“Duduklah.” Senyuman Shah ikhlas. Dyla berkerut dahi merenung Shah. Perubahan riak muka Dyla dapat dibaca Alfan.

“Saya mengganggu ke?” soal Alfan buat-buat tak bersalah.

“Eh takdelah. Dyla, orang ada kelas ni. Orang gerak dulu eh. Nanti kita jumpa lagi.” Segera Shah bangkit dari kerusi bersama pinggan dan cawannya. Alfan hanya menghantar kelibat Shah dengan ekor matanya. Manakala Dyla sibuk menyorokkan muka. Tidak mahu bertatapan dengan Alfan.

Boyfriend?” tanya Alfan.

“Jangan sibuklah.” Dyla kemudiannya bangun dari kerusi.

“Bila nak bayar hutang? Kereta aku dah dua hari keluar bengkel tu.” Lagi-lagi soalan yang sama.

“Kan saya dah kata, setiap bulan. Ni baru seminggu.”

“Kan aku dah kata, aku akan datang mengejut macam ni selalu?”

Dyla kembali mendaratkan matanya ke arah Alfan. Bencinya membuak-buak.

“Awak memang takde life eh? Asyik kacau saya ke hulu ke hilir! Tolonglah! Saya kata saya akan bayar duit awak tu. Awak jangan risau. Saya akan bayar sampai ke syiling yang terakhir. Takkan tertinggal sesen pun!” lantang suara Dyla membuatkan pelajar sekeliling mula memandang ke arah mereka.

“Eh, dia yang langgar kita, lepas tu tak boleh nak bayar ganti rugi, tapi kita pula yang nak ditengkingnya. Aku tak claim on the spot pun dah kira baiklah. In return, aku akan kacau kau hari-hari sampai kau bayar duit aku. Kalau kau tak ada duit nak bayar lagi, endure the pain. Aku akan jumpa kau setiap hari, kat mana pun kau ada,” sindir Alfan.

Alfan teguk air Dyla yang bersisa setengah lagi. Diteguk habis! Melengu Dyla dibuatnya. Dahlah air Vico mahal!

Hujung mulut dilap perlahan. “Jumpa esok.” Kenyitan mata Alfan menambah geram Dyla.

 

 

JARI telunjuk Dyla diketuk-ketuk di atas meja belajar. Matanya kembali menatap skrin komputer riba. Tepu dengan assignment yang menimbun, dia beralih kepada Facebook. Orang pertama yang dia cari, Shah. Sayangnya takde apa pada ‘dinding’ Facebook lelaki itu. Memang betul-betul sibuk ni.

Matanya tiba-tiba tertancap pada dinding Home.

Alfan just changed his profile picture.

 Itu kawan lamanya ketika sekolah dulu. Nama sama dengan Alfan yang menjengkelkan itu. Memikirkan lelaki itu aje membuatkan Dyla merengus tanpa sedar.

Tapi Alfan yang ini.. lama dia tak nampak. Gambar profil yang ditukar pun bukan gambarnya. Tapi cuma gambar pergunungan Alps. Sudah lama dia tak bertemu dengan lelaki itu. Entah macam mana rupa dah.

Bezanya Alfan ini dengan Alfan yang baru dia jumpa minggu lepas. Lelaki yang pernah menjadi seseorang yang istimewa buat dirinya dan begitu lembut bual bicaranya. Tak macam anak saudara Encik Anuar tu!

Dyla meringankan tangan memberi komen pada status lelaki itu.

Dyla           : Long time no see!

Seminit kemudian, komen Dyla dibalas.

Alfan         : Hi Dyla. Long time no see.

Sejujurnya Dyla agak terkejut yang lelaki itu masih mahu membalas komennya.

Dyla           : Sihat ke?

Alfan         : Alhamdulillah so far. Mind me to get your number?

Dyla           : Saya PM awak.

Selepas nombor telefonnya dikongsi kepada Alfan, tak lama kemudian itu bunyi Whatsapp kedengaran. Ikonnya sebuah gitar.

Alfan         : Alfan ni.

Dyla           : Hi Alfan.

Jawab Dyla hambar. Dia sebenarnya tak tahu apa yang mahu dibualkan dengan lelaki itu. Agak musykil juga kalau Alfan nak berinteraksi dengannya semula selepas apa yang pernah terjadi di antara mereka berdua.

Alfan         : Haha. Hi Dyla. Ada mana sekarang?

Dyla           : Rumah.

Perbualan sepi seketika. Dyla muncung bibir. Dia tak mengharapkan pun Alfan untuk membalas pesanannya sebab dia pun kedengaran hambar membalas mesej lelaki itu.

Alfan         : Lama kita tak jumpa kan?

Dyla           : Iyalah. Orang tu lepas habis SPM terus menghilang tak bagi tahu.

Alfan         : Yelah. Larilah. Dah kena tinggal, takkan nak buat muka tak malu nak bagi tahu kita nak pergi bawa hati?

Wajah Dyla merona merah. Lelaki ni masih ingat lagi ke hal itu? Tapi waktu tu, dua-dua masih budak.

Dyla           : Sorry. Takkan tak move on lagi kot? Huhu.

Rasa serba-salah Dyla menepu. Lama menunggu jawapan Alfan, tapi tidak dibalas.

Alfan         : Haha. Mestilah dah. Dah bertahun-tahun. Benda dah terlalu lama. Hehe.

Dyla           : Saya baru je jumpa lelaki nama macam awak.

Alfan         : Oh ya ke? Interesting.

Dyla           : Tapi mamat tu annoying gila!

Alfan         : Apa dia buat kat awak sampai awak tak suka dia?

Dyla           : Dia suka datang mengejut tak bagi salam. Selalu kacau keamanan hidup saya.

Alfan         : Kawan baru awak ke?

Dyla           : Ei! Minta simpang. Memang taklah!

Alfan         : Kenapa dia selalu datang jumpa awak?

Dyla berhenti menaip sebentar. Takkan nak cerita benda sebenar? Tak naklah.

Dyla           : Saya ada assignment nak kena siapkan. Later kita Whatsapp lagi.

Alfan         : Alright. Kalau jumpa lagi kawan baru awak yang annoying tu, tolong kirimkan salam.

Dyla           : Euw. Tak naklah. Sila tarik balik salam awak. Nanti dia tahu yang Dyla cerita pasal dia dekat awak.

Alfan         : Haha. Alright then.

Dyla           : By the way. Saya minta maaf tau dengan apa yang pernah jadi dulu?

Alfan         : It’s okay.

Dyla senyum nipis. Sekurang-kurangnya dia tahu lelaki itu sudah memaafkannya. Selepas kejadian yang lepas itu, Dyla tak sempat nak minta maaf pun. Pesanannya melalui mesej atau Facebook juga tidak dihiraukan.

 

 

BEBERAPA TAHUN YANG LEPAS...

“SORRY.” Dyla menghulurkan kotak besar kepada Alfan. Alfan memandang Dyla dengan pandangan suram.

“Kenapa baru sekarang?” soal Alfan.

“Saya tak pernah suka dengan awak pun sebenarnya. Letih juga nak berpura-pura hari-hari.”

“Dah tu, hari tu kenapa terima?”

“Suka-suka,” jawab Dyla jujur. Memang betul pun dia terima luahan hati Alfan yang lebih tua tiga tahun daripadanya disebabkan kawan-kawan. Waktu itu, semua sibuk dok tayang crush masing-masing dan Dyla tak nak kalah juga.

Alfan ketap gigi. Berombak juga dadanya. Dahlah sibuk nak fikir untuk SPM tahun ni. “Kenapa baru sekarang bagi tahu?”

Dyla langsung tak ada rasa serba-salah. “Sebab sebelum ni memang takde suka orang lain. Jadi saya okay je dengan awak. Tapi sekarang saya ada suka orang lain. So, buat apa saya nak teruskan dengan awak?”

“Macam tu je?” Alfan cuba tahan marahnya.

“Dah tu nak macam mana lagi?” Dyla mula rasa rimas. Kenapa banyak betul soalan mamat ni?

Alfan merengus kasar. Kotak yang diberikan masih tidak bersambut. Lantas Dyla meninggalkannya di atas rumput sebelum masuk semula ke kelas. Masa rehat sudah tamat.

“Habis kat sini je eh? Sorrylah. Good luck untuk SPM awak,” ujar Dyla sebelum beredar.

Dia buat aku macam sampah je? Tak suka, tapi terima juga. Lepas tu buang aku macam aku ni bukan manusia, tak berperasaan.

Kotak yang berada di atas rumput dicapai dan dibuka penutupnya.

Barang yang pernah diberikan buat Dyla semuanya ada di dalam kotak itu. Baru dia sedar sesuatu. Baru enam bulan mereka bersama, tapi macam-macam hadiah dia berikan untuk Dyla. Tapi dia hanya pernah menerima satu barang sahaja dari Dyla. Syiling lima puluh sen. Itu pun sebab Dyla bayar semula hutang tiket bas yang tak cukup.

 

 

“HAIRUL.” Alfan mendail nombor setiausahanya. Lelaki itu seperti robot. Patuh apa sahaja arahan yang diterima.

“Ya bos,” jawabnya hormat meski pun mereka sebaya. Dia pun tak sangka yang dia akan berkhidmat untuk tuan yang seusia dengannya. Mula-mula memang payah sebab ada rasa ego nak terima arahan. Tapi lambat-laun, Hairul sedar sendiri yang dia makan gaji je. Alfan yang dok bayar gaji dia. Jadi lelaki itu layak untuk dihormati.

Alfan termenung sebentar. “Tolong cari tahu details Shah tu.”

“Baik bos.”

Alfan mengetuk meja dengan jarinya. Talian dimatikan. Shah kelihatan istimewa. Dia ingin tahu, siapa lelaki itu pada mata Dyla?

“Alfan,” panggil Murni.

“Ya?” Alfan bangun dari sandarnya di kepala katil dan terus duduk bersila.

“Abang panggil.”

Alfan diam. “Kejap lagi Alfan turun.” Murni angguk sekali dan menutup kembali pintu bilik adik iparnya itu. Alfan bingkas bangun dan menyarung t-shirt tidak berlengan ke tubuhnya.

Langkahnya laju menuruni anak tangga.

“Kenapa bang?”

“Duduk kejap.” Alif memanggil adiknya supaya duduk sekali dengannya.

“Esok abang nak perkenalkan kau dengan semua pemegang saham. Tadi kau dah jumpa separuh waktu dinner. Tapi esok, semua akan ada. Kau dah sedia?”

Hm. Insha-Allah.”

“Lagi satu, arwah ayah ada pesan something kat abang.”

“Apa dia?”

“Arwah minta abang carikan kau calon isteri.” Alif tenung anak mata adiknya. Alfan ketawa.

“Zaman bila kita ni? Masih nak kena carikan? Aku boleh cari sendirilah. Apa yang rushing sangat? Aku belum 30-an pun lagi. Masih muda lagi nak chill.”

“Kau akan dapat tanggungjawab yang besar. Arwah ayah nak kau ada sense of responsibility. Bila kau ada isteri, kau akan lebih dedicated dekat family kau dan tak hanyut dengan dunia sosial.”

Alfan ketawa besar. “Kau rasa aku ni terlebih sosial ke?”

“Arwah ayah risau dengan kau. Sejak kau duduk Ireland, kau tak balik-balik. Bertahun-tahun. Kami yang kena pergi dekat kau.”

Alfan diam seketika. Sampaikan arwah ayahnya sakit pun, dia minta ayahnya dirawat di hospital Ireland. Senang dia nak pantau. Sampaikan ayahnya meninggal pun, dikuburkan di Ireland.

Baru kali ini dia pulang ke Malaysia demi janji yang pernah dia buat kepada ayahnya.

“Ke kau memang dah ada calon dari Ireland? Sebab tu kau tak nak balik dari dulu?” usik abangnya.

Alfan sengih sesaat sebelum kembali termenung teringatkan hutang yang masih belum dia dapat kutip daripada Dyla. Bilalah budak tu nak bayar duit aku? Sakit hati pula bila aku fikir.

“Kalau kau dah ada calon, bagi tahu je. Abang dengan kak Murni kau ni nanti boleh pergi jumpa parents dia.”

“Kena cepat ke?” soal Alfan.

“Kau dengar tak abang cakap apa tadi? Kau akan uruskan company ayah tau tak lama lagi.”

“Sepatutnya bagi aku fokus handle company dulu baru kahwin. Dibuatnya perkahwinan aku tak okay, kan dan effect company?”

“Kau rasa aku nak tangguh amanah ayah ke?”

Muncung Alfan panjang.

So baik kau decide sekarang, kau nak cari sendiri atau abang carikan?”

“Kalau kau carikan, mesti kau carikan aku yang takde gigi.” Alfan menjeling. Alif berdekah.

“Nasiblah.”

“Ah tak payah. Biar aku cari sendiri. Tapi actually aku rasa macam aku dah ada calon.”

Surprise! Tak pernah cerita dekat aku pun. Siapa? Sejak bila pula kau kenal orang dekat sini? Ke dia memang dari Ireland?” Alif jungkit kening sebelah. Dia jadi teruja nak tahu. Sedangkan Alfan baru beberapa minggu pulang ke sini.

“Nantilah aku cerita dekat kau.”

“Bila aku dengan kak Murni boleh pergi jumpa dia?”

“Kau sabar sikit boleh? Kasi aku settlekan dulu dengan dia.” Alfan capai telefon bimbit.

“Cepat-cepat sikit. Aku bagi kau masa sebulan. Boleh?”

“Kau ingat aku nak pergi beli kambing ke? Yang kau nak suruh aku buat ni, pinang anak orang tau. Bukan beli lembu nak buat korban.”

No comments:

Post a Comment