Latest Post! Check it out!

HAI BLOG

Aku tak tahulah dah berapa tahun aku tinggal blog ni.  Instead of using wattpad- i think I want to use my blog again.  Atleast aku tak dapat...

Saturday, March 5, 2016

SPLIT 2




Lelaki itu berdiri menghadap cermin yang memberi pantulan tubuhnya. Bibir itu perlahan-lahan mengukir senyuman sinis. Hujung bibir yang berdarah dikesat dengan belakang tangan.

Rambut yang sudah serabai dibiarkan begitu sahaja. T-shirtnya ditanggalkan. Lantas tubuhnya ditelentangkan di atas katil. Syiling bilik diperhatikan dengan pandangan kosong. Nafasnya masih belum teratur dek mengah berlari.

Matanya dipejam sebentar. Mengingatkan apa yang terjadi sebentar tadi.

“Long time no see, bro.” Muazzam sengih hujung bibir. Sekumpulan lelaki dibelakangnya masing-masing memegang batang besbol, kayu, tak tercicir juga dengan parang dan kapak. Ni bukan budak yang bajet-bajet punk, skinhead, gothic dan sebagainya eh. Ni bukan samseng chow kit tau. BUKAN! They are the real killer. Again, KILLER!

Pandangan Mikael masih belum jelas siapa yang berdiri di celah lorong betul-betul di bawah lampu jalan berwarna kuning. Wajah lelaki itu masih belum dapat dikenalpasti apabila hood sweater menutup kepala lelaki itu. Ditambah lagi dengan gelap malam.

“Kau siapa?” Mikael yang sedang melepak dengan kaki terjuntai di atas tong sampah segi empat besar belakang restoran terus jejak lantai dan bergerak ke hadapan sedikit. Mengharap dengan selangkah dia ke hadapan, dia mampu untuk melihat dengan lebih jelas wajah lelaki itu.

Muazzam sengih sinis.

“Takkan dah lupa aku?” kolar T-shirt yang tinggi menutup sedikit mulutnya.

Mikael kerut dahi. “Kau?” penumbuknya sudah dikepal.

“Pergh. Lama betul nak tunggu kau ingat aku kan?” Muazzam ketawa.

“Rindu aku tak?” tambah Muazzam.

Muazzam terus beri isyarat kepada yang lain untuk memulakan serangan apabila Mikael sudah meludah ke kiri. Mikael lebih pantas mengelak setiap serangan.. Ah bukan dia baru hidup sebulan dua. Bukan dia baru kenal Muazzamsehari dua.

Pantas yang lain mengejar. Mikael hanya ketawa sebelum bersiap sedia untuk membuka langkah.

“Budak-budak mentah macam ni kau suruh lawan aku Zam? Seriously?” Mikael hanya ketawa sambil penumbuknya melayang-layang kiri dan kanan tanpa henti. Ada la beberapa kali dia tidak sempat mengelak dari tumbukan padu mengena pipinya membuatkan dalamnya pecah!

“Sampah macam kau ni patut lupus terus dari muka bumi ni!” jerit Muazzam.

Ada dua orang lelaki di hadapan Mikael yang melayangkan penumbuk dan kedua-dua penumbuk itu mampu dielak Mikael. Bahkan mereka pula yang tertunduk menahan perit apabila perut mereka menjadi sasaran Mikael. Atau ketika ini lebih dikenali sebagai Hafez. Ya. Hafez dan Mikael adalah orang yang sama. Cuma yang lain... Identiti!

Kini hanya tinggal Muazzamdan Mikael.

“Sudah-sudahlah Zam. Berhentilah.” Sindir Mikael.

“Selagi kau tak mampus, selagi tu aku kejar kau, Mika. Oh no! My bad, Hafez! Kalau Mika, dia takkan serang aku.” Muazzam bersiap sedia untuk menyerang Mikael tetapi nampaknya Mikael lebih pantas dalam bab bertumbuk.

Muazzam terbaring ke belakang apabila Mikael sedikit pun tidak menunggu lama untuk menghayunkan penumbuknya.

“Aku tak kacau kau, kenapa kau kena kacau aku! Hah?!” tempik Mikael.

Muazzam ketawa berdekah. “Aku akan kejar kau sampai kau mati.” ketawa Muazzam lagi dengan bibir berdarah.

Mikael terjaga dari lamunannya. Badan yang terasa lekit memaksa dirinya untuk bangun ke bilik air dan mandi.

Pili air dipulas hingga air mencurah-curah berlari mengena tubuhnya. Sedang dia termenung dalam keadaan berdiri, kepalanya terasa sakit yang teramat!

“Arghh!” jerit Mikael. Kakinya hingga lemah dan akhirnya dia terduduk.

Beberapa saat kemudian, kepalanya terasa kosong. Mikael tersedar. Pili air ditutup. Diam meraup wajahnya dengan nafas lega. Sampai ke bibir, dia terasa perit yang amat. Segera dia menoleh ke arah cermin yang tidak jauh dari pili air. Kesan bengkak kelihatan.

“Hafez, apa kau buat lagi ni?” Mikael merengus lemah.



MARYAM memusingkan pensil kayu melalui jari-jemarinya. Kepalanya masih memikirkan hal tadi. Pelik sangat dengan Mikael. Kenapa lelaki itu pandang dia begitu? Pandangan seakan lelaki itu langsung tidak mengenalinya. Dengan pakaian gelap macam tu. Bibirnya..

Maryam tersentak. Darah!

Maryam segera mencapai telefon bimbitnya. Nama Myna dicari. Talian berdering beberapa kali sebelum telefon diangkat.

“Myna Myna Myna!”

“Eh, kenapa makcik ni?” Myna pelik.

“Sorry kacau malam honeymoon you.” Sempat Maryam mengusik.

“Eh budak ni kan! Mana adalah. Kenapa?”

“Em.. boleh tolong tanya Akim tak rumah Mikael tingkat berapa and nombor berapa.”

Myna tersentak. “Kenapa you nak tahu?”

“Hah?” Maryam garu hidung. ‘Ah apa alasan aku nak bagi ni?’

“Tadi I pergi buang sampah. Seems like dia tercicir kunci.” Bohong Maryam.

“Oh. I ingatkan apa. Kejap I tanya Akim eh.”

Maryam hela nafas lega. Takut juga kalau-kalau Myna nak tanya lebih. Apa pula jawapan yang dia nak kasi?

Beberapa minit kemudian, Maryam menyarung tudungnya dan mencapai satu tube krim Burnol dan sekeping plaster. Dia berlari menuju ke lif.

Nombor 21 ditekan. Kukunya digosok-gosok tanpa sedar. Sesampai sahaja di tingkat 21, Maryam mencari nombor 4. Beberapa kali loceng ditekan. Pintu diketuk-ketuk. Tapi tiada sahutan. Maryam bertambah risau. Kerana sebentar tadi dia baru sahaja perasan ada darah di hujung bibir Mikael.

Maryam cuba menekan loceng lagi. Kali ini pintu terbuka sedikit.

“Siapa?” tanya Mikael.

“Aa. Maryam.” Jawab Maryam. Mikael pelik. Jarum jam diperhatikan. Jam sudah hampir berganjak ke angka 12 tengah malam. Daun pintu ditolak lagi luas.

“Macam mana awak tahu saya tinggal sini?” soal Mikael.

“Saya tanya Akim.”

“Ada apa?”

“Awak okay ke?” soalan Maryam membuatkan Mikael jungkit kening. Rambutnya yang masih basah tidak bersikat diperhatikan dengan ekor mata Maryam.

“Okay aje. Kenapa?”

“Awak marah saya ke sebab saya tak jawab soalan awak petang tadi? Sebab tu awak buat-buat tak kenal saya waktu jumpa kat luar?” pelbagai soalan yang bermain di dalam kepala Maryam.

“Ha?” Mikael garu kepala. ‘Ah sudah. Apa aku nak jawab ni? Hafez! Ergh.’

“Saya tak perasan awak kot.”

“Tak perasan? Kenapa dalam lif waktu saya tegur awak, mata awak betul-betul lain pandang saya?”

Mikael merengus. “Sorry okay. Mood saya tak berapa nak baik sekarang ni.” Mikael beri alasan.

“Bibir awak dah okay?” Maryam pandang hujung bibir Mikael yang sudah hilang kesan darah itu.

Mikael menyentuh bibirnya. Terasa betul peritnya.

“Okay aje.”

“Nah. Burnol ni bagus untuk luka. Walaupun saya tak tahu macam mana awak boleh dapat luka tu, tapi be careful. Bukan perempuan aje yang kalau duduk bersendirian boleh terima risiko bahaya. Lelaki pun sama. Zaman sekarang tak kira jantina.” Nasihat Maryam. Burnol dan plaster dihulur. Dua barang itu bertukar tangan. Mikael sedikti kaget.

Maryam garu belakang kepala. “Saya bukan apa. Since saya dah tahu awak ni kawan Akim, saya tak boleh buat-buat tak kenal awak. Kalau awak agak-agak nak pergi klinik tapi tak larat, awak boleh call saya.” Maryam senyum kekok. Baru sahaja kakinya ingin melangkah ke lif, namanya dipanggil.

“Thanks. Tapi macam mana saya nak call awak kalau nombor pun awak tak tinggalkan?” Mikael senyum nipis. Maryam garu kepala. ‘Ish kau ni Maryam.’

Kaki dihayun semula hingga ke hadapan pintu rumah Mikael. Tuala yang masih bersangkut di leher Mikael dipandang sekilas.

“Pinjam phone awak.” Pinta Maryam.

Telefon bertukar tangan dan segera Maryam mengisi nombor telefon bimbitnya ke dalam telefon Mikael.

“Awak boleh call saya kalau awak perlukan saya.” Beritahu Maryam.

“Okay.”

“Okay.” Jawab Maryam juga. Okay rasa kekok sangat-sangat. Maryam menekan butang untuk turun. Mikael masih memerhati. Beberapa saat kemudian dia keluar dari rumahnya dan melangkah menuju ke arah Maryam. Tangan sebelahnya diseluk ke dalam poket seluar tidur berwarna putih coklat.

Terkejut Maryam dibuatnya.

“Awak nak turun ke?” tanya Maryam.

“Teman awaklah. Dah pukul 12 ni. Awak tak takut ke sorang-sorang turun?” balas Mikael.

Maryam ketawa.

“Nak takut apa? Hantu?”

“Boleh jadi waktu awak masuk lif, lampu terpadam. Lif tersekat. Awak bukan tahu kalau kat penjuru lif ada siapa, kan?” kata-kata Mikael membuatkan Maryam telan air liur. Okay fikir kan aje pun dah seram.

“Tapi saya dah duduk sini setahun lebih. Takde orang teman nak balik pun. Okay aje.” Jawab Maryam.

“Itu sebab kita tak kenal. Sekarang kan dah kenal. Saya pun tak boleh buat-buat tak kenal kat awak sedangkan kita duduk dalam satu kondo yang sama.”

Maryam hanya senyum nipis. Kedua-dua mereka kemudiannya melangkah masuk ke dalam lif dan nombor 15 ditekan.

“Esok nak gerak sekali?” tanya Mikael tiba-tiba.

“Oh aah kan. Saya hampir lupa esok kenduri. Boleh juga nak gerak sekali. Kereta saya ke kereta awak?”

“Mine lah.”

“Sure. Thanks.” Pintu lif terbuka.

“Jumpa pukul 9 pagi esok kat parking lot.” Beritahu Mikael.

“Alright. Sure do. Bye.” Maryam terus berjalan laju ke rumahnya. Pipinya mula merah. Eh panas pula rasanya. Esok nak hujan ke macam mana? Bahangnya!!!

Mikael tersenyum melihatkan belakang tubuh Maryam yang begitu laju meninggalkan dirinya untuk masuk ke dalam rumah.



MIKAEL merebahkan badannya ke sofa. Cahaya dari bandar Kuala Lumpur sedikit sebanyak memberi cahaya masuk ke dalam rumahnya. Dia capai telefon bimbitnya. Aplikasi galeri dibuka. Laju tanyanya membuka folder yang sudah lama tidak dibuka.

Kelihatan gambar dua orang budak lelaki sedang berdiri bersebelahan sesama sendiri. Kembar. Skrin telefon bimbit disentuh lembut. Air matanya bertakung. Matanya terkatup rapat. Kini mimpi berkuasa untuk meneruskan jalan penceritaannya.

“D.I.D. Dissociative identity disorder atau boleh dipanggil MPD that means multiple personality disorder. Puan tahu apa maksud tu?” Dr. Adi merenung dalam-dalam anak mata Puan Misha.

“Split personality?”

“Ya. Kadang-kadang dalam satu tubuh, boleh wujud lebih dari 2 personality yang berbeza. Bezanya bukan sikit tetapi ketara. Personaliti-personaliti ini ada nama mereka tersendiri, perangai sendiri, apa yang mereka minat, apa yang mereka takut, kelemahan dan kelebihan sendiri. Umpamanya mereka adalah orang yang berlainan tetapi terkumpul di dalam satu tubuh. Tak semestinya Mikael lelaki, personaliti dalam badannya semua lelaki. Boleh jadi ada budak perempuan, kanak-kanak kecil, orang dewasa, tua, gay, lesbian dan sebagainya.” Terang Dr. Adi. Puan Misha terkejut. Air matanya tumpah.

“Ini adalah salah satu penyakit mental yang jarang sekali berlaku. Selalunya punca berlaku split personality ni adalah sebab tekanan yang melampau waktu kanak-kanak. Mikael ada alami tekanan ke?” sambung Dr. Adi.

Puan Misha menggeleng. Dia tak tahu pula jika Mikael alami tekanan. Tapi Mikael tak pernah ada masalah dengan Muazzam kembarnya sendiri.

“Personaliti-personaliti ini tak dapat dikawal bila dia nak keluar. Apa yang Puan dapat buat sekarang hanya memberi perhatian penuh kepada Mikael.”

Puan Misha mengangguk. Air matanya masih mengalir.



BUNYI TELEFON bimbit Maryam nyaring berdering menandakan waktu Subuh sudah masuk. Puss yang sedang tidur nyenyak di sebelah pun turut terjaga dek bunyi ayam yang berkokok macam nak runtuh bangunan. Kucing itu menggeliat sepuasnya hingga kakinya mengena pipi Maryam.

Maryam ketawa. “Amboi Puss mengebatnya kaki!” kaki Puss ditolak sedikit.

“Meow!”

“Nak makan? Kejap ye. Akak nak mandi, solat dulu baru kasi awak makan okay? Sementara tu awak makanlah pallet tu dulu.

“Eh. Mocoon mana?” Maryam menunduk. Matanya liar mencari di bawah meja. Tak jumpa. Merata dia mencari, tidak juga dijumpai. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 6.15 pagi.

“Akak mandi dululah. Nanti akak cari Mocoon eh Puss.” Laju kaki Maryam berlari masuk ke dalam bilik air.

“Lahh. Kat sini budak ni!” kelihatan Mocoon sedang duduk di penjuru bilik air.

“Buat apa kat sini? Basah la sayang. Tidur dekat bilik akak sana.” Terus diangkatnya Mocoon yang separa tidur.



MIKAEL yang berbaju melayu berwarna kelabu terkejut melihat jubah milik Maryam. Dia garu belakang tengkuk.

“Dah lama tunggu?” sapa Mikael dari belakang.

“Eh taklah. Baru aje turun.” Maryam senyum sesaat.

“Akim suruh awak pakai baju kelabu ke?” tanya Maryam.

“Tak. Myna suruh awak pakai baju kelabu ke?” soalan berbalas.

“Aah.”

“Saya tak tahu pula kita akan pakai baju warna yang sama.” Mikael hanya tersenguh sebelum menghidupkan enjin kereta. Maryam terasa segan.

“Masuklah.” Ajak Mikael.

Perlahan-lahan Maryam ambil tempat di tempat duduk penumpang bersebelahan dengan Mikael.

“Seatbelt please.” Beritahu Mikael sebelum kereta mula bergerak.

Untuk beberapa minit mereka hanya mendiamkan diri.

“Awak kerja apa?” Maryam memulakan perbualan.

“Sniper.” Jawab Mikael serius. Maryam membulat mata. ‘Serius ke dia ni?’

Kemudiannya Mikael ketawa. “Takdelah. Awak ingat saya ni perisik ke apa?” sambung tawa Mikael.

“Or even worst, killer.” Maryam mulut capoi.

“Might be.” Gurauan Mikael membuatkan Maryam makin seram.

“Eh janganlah muka tegang macam tu.” Mikael mula perasan wajah Maryam bertukar pucat. Mana tidaknya, dah la tak kenal tiba-tiba cakap pasal benda seram. Lepastu, tambah dengan bibir pecah semalam. Ish.

“Macam mana tak tegang? Awak cakap benda pelik macam tu. Siapa tak takut. Berjiran dengan saya pula tu.” Maryam peluk tubuh.

Mikael ketawa. Matanya fokus kepada pemanduan. Soalan Maryam dibiar tergantung tidak berjawab. Maryam ketap gigi. ‘Aku tanya, tak berjawab!

“Awak kerja apa?” soalan Mikael membuatkan Maryam mencebik. ‘Eh geram pula aku. Aku tanya dia, dia tak nak jawab. Dia tanya aku, aku kena jawab ke?’

“Tukang sapu sampah aje.” Selamba jawab Maryam.

“Eh baguslah. Boleh saya upah tolong sapu rumah saya.” Balas Mikael.

“Saya tak ambil upah sapu rumah killer.” Maryam peluk tubuh dengan matanya fokus di jalan raya. Mikael ketawa.



SETIBANYA mereka berdua di hotel milik sahabat ayahanda Myna, Mikael segera mencari parking yang sesuai. Telefon Maryam tak henti-henti berdering dari tadi.

“Iya, aku dah sampai ni. Tengah parking kat basement ni. Kau kat mana?” Maryam tergesa-gesa keluar dari perut kereta.

Mikael hanya melihat belakang tubuh Maryam yang sudah tergesa-gesa berlari meninggalkan dirinya. Mikael menggeleng sambil tersenyum. Perempuan. What do you expect? Kelam-kabut sentiasa. Tak reti nak rileks langsung.

Mikael menapak sama memasuki bangunan tinggi itu.

Mata Maryam melilau mencari nombor bilik Meen. Dia langsung tak peduli tentang Mikael yang menumpangkannya sebentar tadi. Ah. Aku ada benda lagi penting sekarang, okay?

TOK! TOK! TOK! Ketukan di daun pintu Meen kedengaran berkali-kali.

Sebaik sahaja pintu dibuka, Maryam meluru masuk ke dalam ruangan kosong itu.

“Lambatnya kau datang!” rengus Meen.

“Eleh cakap aku. Kau tu pun mekap tak habis lagi.”

“Ah enough with the argument. Tolong mekapkan aku. Muka aku dah separuh badut dah ni.” Meen sua mukanya. Minta dibantu Maryam.



“TU.” Meen siku Maryam yang sedang duduk menikmati makanan katering. Maryam hanya menjeling ke arah Mikael.

“Kenapa?”

“Hensem tak pada kau?” soalan Meen buat Maryam terkejut.

“Kenapa? Kau suka?”

“Kalau calon suami, aku nak macam tu.”

“Cakap ajelah kau berkenan kat dia.” Usik Maryam.

Meen tersengih. “Boleh la. Muka dia comel sangat. Baby face gitu.”

“Seriously?” Maryam mencebik.

“Kau kan satu kondo dengan dia. Tak nak tolong aku jadi spy peribadi buat sementara waktu?” Meen mencuit-cuit pinggang Maryam.

“Tak nak. Buang karan aje. Kau nak, kau pergi tanya sendiri dengan dia.”

“Kau ni, bukan nak tolong aku bina masjid kan?”

“Eh eh. Usahalah sendiri. Hati kau, bukan hati aku.”

“Kalau aku ajak dia keluar makan, agak-agak dia nak tak?” Meen tanya pendapat.

“Entah.” Maryam pandang semula ke arah Mikael yang sedang bergelak ketawa.



6 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. ahh. best-ii. suka karya ain syuhada. cepat-ii smbung sis. keep it up.

    ReplyDelete
  3. Best��
    Nak sambungan��

    ReplyDelete
  4. NK SAMBUNGAN. KALAU NOVEL MMG NAK BELI.

    ReplyDelete
  5. tak sabarnye nk tnggu smbgn dia..

    ReplyDelete